Rakyat perlu jadi agenda utama MB S’gor

0

SHAH ALAM: Para penganalisis politik berpendapat sesiapa jua yang dipilih pucuk pimpinan pakatan pembangkang sebagai Menteri Besar Selangor akan datang, perlu mengetepikan perbezaan politik dan sebaliknya bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan pelbagai isu yang melanda penduduk negeri itu.

Pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) dan penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, kini penduduk Selangor amat mengharapkan kehadiran seorang pemimpin yang mampu membuat keputusan serta dasar yang boleh memenuhi kepentingan mereka.

“Saya berpendapat, masanya sudah tiba bagi MB akan datang bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan isu yang sejak sekian lama membelenggu penduduk Selangor, terutama berkaitan bekalan air.

“Kerajaan negeri perlu bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, tanpa mengira perbezaan politik antara mereka dan memastikan semua keputusan yang dibuat kelak, tidak membebankan rakyat,” katanya kepada Bernama.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menunjukkan PAS dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi di Dewan Undangan Negeri Selangor, manakala PKR memperoleh 14 kerusi.

Dr Sivamurugan berkata daripada segi etika, MB Selangor akan datang bertanggungjawab memberi keutamaan terhadap pembinaan loji rawatan air Langat 2 untuk memastikan wujudnya bekalan air bersih yang mencukupi bagi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor hingga 2025.

Katanya MB berkenaan juga perlu merupakan seseorang yang menyandang jawatan penting parti, sekurang-kurangnya di peringkat negeri, serta memiliki pengetahuan mendalam tentang urusan mentadbir negeri.

“Sebagai pemimpin negeri, MB berkenaan perlu memiliki kriteria itu untuk memastikan tiada seorang pun boleh membayanginya dalam apa jua cara pun,” katanya.

Ditanya siapakah calon yang paling layak untuk mengisi jawatan itu, Dr Sivamurugan berkata pada hemat beliau, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkemampuan untuk menerajui negeri itu bagi penggal kedua.

Abdul Khalid, daripada PKR, kali pertama dilantik sebagai MB Selangor pada 13 Mac 2008.

Beliau juga merupakan orang pertama daripada kalangan pemimpin pembangkang yang dilantik sebagai MB Selangor. Kesemua 13 MB Selangor sebelum ini adalah daripada UMNO, parti komponen utama Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, penganalisis politik dan perunding media Anbumani Balan berkata penduduk Selangor mengharapkan seorang MB yang berdedikasi untuk berkhidmat kepada mereka dan sebagai pemimpin yang boleh menjamin wujudnya pembangunan berterusan di negeri itu.

“Selangor sebuah negeri penting, yang begitu hampir dengan Kuala Lumpur serta Putrajaya dan sesiapa saja yang dipilih sebagai MB akan datang, perlu mengelak daripada memberi tumpuan semata-mata terhadap isu yang timbul daripada pentadbiran sebelum ini,” katanya.

Anbumani berkata MB yang baharu nanti perlu melibatkan semua pihak, termasuk pemimpin parti komponen BN, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk dalam proses membuat keputusan.

“Sesiapa saja yang dipilih sebagai menteri besar akan datang bukan saja perlulah disukai oleh ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang, tetapi juga oleh semua pihak,” kata beliau.

Anbumani berkata beliau percaya ‘perang proksi’ sedang berlaku berhubung isu pemilihan MB Selangor dan perkara ini boleh mengundang bahaya jika berlarutan lebih lama.

“Kepimpinan pakatan pembangkang di Selangor perlu membuat keputusan tegas dan berani tentang pemilihan menteri besar ini, dengan mengambil kira mandat besar yang diberi rakyat kepada mereka pada pilihan raya umum baru-baru ini,” katanya.

Polemik tentang siapa yang wajar dilantik sebagai MB Selangor akan datang menjadi perbahasan hangat antara pemimpin parti pakatan pembangkang dan hingga kini, tiada keputusan muktamad dicapai mengenainya. — Bernama