Seminar batu bersurat dapat sambutan

0

KUALA TERENGGANU: Seramai 200 peserta menyertai seminar mengenai kepentingan batu bersurat di sini semalam.

Seminar ‘Batu Bersurat-Semakin Digali Semakin Dikagumi’ selama dua hari anjuran Muzium Negeri bertujuan mengkaji dan menyelidik asal usul sejarah Batu Bersurat Piagam Terengganu yang menjadi simbolik tentang kedatangan Islam ke negeri ini.

Faizal Hilmie Yusof, 35, berkata penganjuran seminar ini amat baik untuk mengupas sejarah asal usul kewujudan batu bersurat yang tidak begitu diminati generasi muda sepertinya.

“Seminar kali ini lebih menarik berbanding seminar lepas kerana kali ini terdapat pembentang yang mempunyai latar belakang matematik, ekonomi dan bahasa. Kita dapat mengetahui perbezaan pendapat dan pengetahuan dari segi sejarah mengikut latar belakang mereka,” katanya yang telah tiga kali menyertai seminar sedemikian.

Timah Hamzah, 61, berkata beliau kini memahami batu bersurat dari pelbagai aspek seperti kandungan tulisan, jenis batu yang digunakan dan hubungan antara kandungan batu bersurat dengan negara lain seperti Indonesia dan Vietnam.

Beliau memiliki banyak koleksi mengenai batu bersurat untuk diwariskan kepada anak cucunya.

Pengarah Muzium Terengganu, Mohd Yusof Abdullah berkata penganjuran seminar itu merupakan aktiviti tahunan muzium dan pihaknya telah menerbitkan dua buah buku hasil dari kertas kerja mengenai batu bersurat.

“Sejarah batu bersurat perlu dikupas dan diketahui generasi sekarang dan akan datang untuk dijadikan pengajaran,” katanya. — Bernama