Biodiversiti, kekayaan budaya S’wak diiktiraf

0

KUCHING: Kepelbagaian biodiversiti tropika yang menakjubkan dan kekayaan budaya etnik, faktor pemilihan Sarawak sebagai lokasi Simposium Kebangsaan Konservasi 2013.

Bertemakan ‘Melestari Khazanah Warisan Negara’, simposium yang berlangsung selama empat hari mulai 13 hingga 16 Mei ini akan melihat kesepaduan kepelbagai bidang warisan yang telah dan akan dijalankan.

Timbalan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Dr Norini Haron  berkata antara tujuan simposium ini diadakan adalah untuk menggabungkan kepakaran saintis FRIM dalam penyelidikan hutan tropika.

Penyelidikan yang turut melibatkan l agensi-agensi kerajaan yang lain termasuk IPTA daripada pelbagai bidang ini merupakan satu usaha pemuliharaan khazanah warisan negara yang mungkin menjadi sebahagian daripada sumber bahan rujuan berharga kepada generasi kini dan akan datang.

Justeru, beliau berharap simposium ini akan dapat menyatukan pelbagai aspek berkaitan warisan pemuliharaan seterusnya diterjemah dan direalisasikan oleh para ilmuan dan para praktis serta peminat warisan dalam memberi sumbangan kepada pembangunan dan kelestarian warisan alam sekitar.

“Bukan mudah untuk melakukan kerja-kerja konservasi yang melibatkan struktur bangunan atau rumah, tapak dan landskap, artifak, spesimen dan sebagainya.

“Ini kerana banyak perkara yang perlu dititikberatkan terutama apabila membabitkan penggunaan pelbagai campuran bahan seperti logam, kayu, buluh, rotan, kertas dan sumber-sumber lain daripada alam semula jadi.

“Setiap bahan tersebut mempunyai pelbagai masalah berbeza, persekitaran berbeza sekali gus menjadi cabaran paling utama untuk memgekalkan keseimbangan setiap bahan dalam sesuatu objek tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan simposium itu semalam.

Simposium yang dianjurkan untuk tahun ketiga itu turut menerima kerjasama daripada Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tourism Malaysia Sarawak, Sarawak Forestry Corporation (SFC), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Lembaga Pelancongan Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Turut menjayakan simposium ini, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak, Universiti Putra Malaysia Sarawak, MARDI Kuching Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Arkib Negara Malaysia, Jabatan Warisan Negara, Jabatan Landskap Negara, Muzium Negeri Sarawak dan lain-lain.

Sebanyak 17 kertas kerja dibentangkan sepanjang simposium tersebut antaranya selain lawatan ke beberapa tempat menarik di bandar raya ini yang berkaitan dengan hasil khazanah warisan.

Turut hadir pada perasmian itu semalam Pengerusi jawatankuasa penganjur Wan Zahiri Wan Yaacob, Ketua Pegawai Eksekutif STB Datuk Rashid Khan, Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai wakil penganjur bersama dan lain-lain.