Isu penolakan Cina terhadap BN dimanipulasi: Wan Zain

0

MIRI: Meskipun Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sudah berlalu, isu penolakan kaum Cina terhadap parti komponen Barisan Nasional (BN) masih dimanipulasi oleh sesetengah pihak berkepentingan.

Aktivis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar berkata isu penolakan kaum Cina terhadap BN telah dimanipulasi secara meluas dalam laman sosial bagi memecahbelahkan perpaduan kaum.

“Perbuatan seperti menyebarkan hasutan, fitnah dan memaki hamun dalam laman sosial harus dihentikan serta-merta kerana ia boleh mengganggu gugat perpaduan kaum di negara ini.

“Saya tidak melihat berlaku perpecahan kaum di negara ini sebaliknya ia hanya dibangkitkan oleh golongan yang kecewa dengan keputusan Pilihan Raya Umum lalu,” katanya di sini semalam.

Kerajaan harus melakukan kajian mendalam mengenai punca utama penolakan kaum Cina terhadap BN agar isu perkauman tidak lagi timbul pada pilihan raya akan datang.

“Bukan sahaja kaum Cina yang menolak BN, tetapi juga kaum lain termasuk orang Islam. Sehubungan itu, isu perpecahan kaum selepas pilihan raya sebenarnya tidak wujud,” katanya.

Agensi kerajaan berkaitan khasnya Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) harus melakukan pemantauan secara meluas dalam laman sosial jika terdapat unsur fitnah.

“Sebenarnya perpaduan kaum dan etnik di negara ini masih kukuh dan rakyat masih bergaul antara satu sama lain seperti biasa.

“Isu menuding jari satu sama lain bagi membangkitkan kemarahan selepas pilihan raya harus dihentikan bagi memelihara perpaduan kaum dan etnik di negara ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau menyarankan agar pengundi yang kecewa dengan keputusan pilihan raya lalu supaya akur dan menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

“Rakyat seluruh negara telah membuat keputusan dan mana-mana penyokong parti yang menang atau kalah tidak seharusnya emosi, sebaliknya akur dengan keputusan pilihan raya,” katanya.