Polis buka kertas siasatan terhadap 30 peserta protes

0

Asisten Komisioner Jauteh Dikun

KOTA KINABALU: Kertas siasatan terhadap lebih 30 individu yang berhimpun di bawah perkarangan pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah di Rumah Persekutuan Negeri pada Jumaat lalu, kini dibuka.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata pihak penganjur perhimpunan protes yang difahamkan didalangi oleh Gerakan Mahasiswa PRU13 Sabah dan Sarawak juga akan dipanggil dalam masa terdekat ini bagi membantu siasatan.

“Kini polis telah membuka kertas siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana didapati perhimpunan berkenaan dilakukan tanpa kebenaran polis dan setelah siasatan selesai, ianya akan diserahkan kepada Peguam Kanan Persekutuan bagi tindakan lanjut,” katanya.

Jauteh turut menjelaskan meskipun perhimpunan adalah dibenarkan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, namun perkara terbabit haruslah mengikut undang-undang sedia ada termasuklah memaklumkan kepada pihak polis 10 hari sebelum ianya dilaksanakan.

“Malah kita juga mahu mengambilkira pelbagai faktor termasuklah kesesuaian lokasi berhimpunan sebelum kebenaran diberikan,” katanya yang dihubungi kelmarin.

Utusan Borneo sebelum ini melaporkan seramai lebih 30 individu telah berkumpul di bawah pejabat SPR bagi membantah proses perjalanan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lepas pada Jumaat lalu.

Turut difahamkan satu surat memorandum diserahkan kepada wakil SPR oleh Pengerusi Gerakan Mahasiswa PRU13 Sabah dan Labuan, Mohd Hisham Mohd Jais pada perhimpunan yang bermula jam 2.30 petang berkenaan.