Kerani lakukan pecah amanah dipenjara 15 tahun

0

MIRI: Seorang kerani kewangan di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Miri dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini petang semalam setelah didapati bersalah atas tiga tuduhan melakukan pecah amanah jenayah membabitkan wang tunai RM41,130.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud setelah mendapati pihak pendakwa raya berjaya mengemukakan kes prima facie terhadap tertuduh dalam ketiga-tiga kes yang didakwa ke atasnya.

Ketika membacakan keputusannya, Awang Kerisnada berkata tertuduh wajar dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepadanya serta kakitangan awam lain agar sentiasa mengamalkan sikap jujur, amanah dan integriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka terutama dalam mengendalikan wang orang awam.

“Sikap tidak jujur yang ditunjukkan tertuduh bukan hanya menjejaskan imej jabatan tempat dia bertugas tetapi perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

“Justeru, saya berharap dengan hukuman yang berat ini dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada kakitangan awam yang lain agar sentiasa jujur dalam melaksanakan tugas,” tegas beliau.

Suraina Adenan, 33, dari Taman Jelita, Taman Tunku di sini didakwa atas tiga tuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan yang dihadapi.

Berdasarkan tuduhan pertama, tertuduh dalam kapasitinya sebagai pembantu tadbir (kewangan) di pejabat Jabatan Imigresen Bahagian Miri telah diamanahkan untuk mengutip hasil berjumlah RM14,560 untuk jabatan tersebut didapati telah melakukan pecah amanah jenayah dengan menggelapkan sejumlah wang berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 Mei 2011 di Pejabat Jabatan Imigresen Bahagian Miri, Tingkat 2 dan 3 Yu Lan Plaza, Jalan Brooke di sini.

Manakala dalam tuduhan kedua dan ketiga, tertuduh sekali lagi telah mengulangi perbuatan sama dengan menggelapkan wang masing-masing berjumlah RM19,555 dan RM7,015 milik jabatan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh masing-masing pada 26 dan 31 Mei 2011 di pejabat yang sama.

Seramai 13 orang saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan masing-masing dalam perbicaraan kes tersebut untuk menyabitkan tertuduh dengan kesalahan yang didakwa.

Pada masa sama, pihak pendakwa telah mengemukakan sebanyak 56 barang kes untuk diterima sebagai bahan bukti.

Setelah menimbangkan kesemua aspek, Hakim Awang Kerisnada kemudian menjatuhkan hukuman penjara masing-masing lima tahun bagi setiap tuduhan yang dihadapinya dan memerintahkan ketiga-tiga hukuman itu berjalan berasingan berkuat kuasa semalam (14 Mei 2013).

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili dua peguam bela iaitu Arthur Lee dan Firdaus Morshidi merayu agar hukuman penjara itu ditangguhkan sementara dia memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan memerintahkan tertuduh dibebas dengan ikat jamin RM10,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu rayuannya didengar di Mahkamah Tinggi kelak.