Najib menghadap Agong hari ini untuk dapat perkenan kabinet

0

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Negara di sini pada jam 12 tengah hari ini untuk mendapat perkenan terhadap cadangan pelantikan barisan kabinet yang baharu.

Baginda telah memperkenan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai menteri dan timbalan menteri diadakan di Istana Negara pada jam 9.30 pagi Khamis.

Demikian menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri semalam.

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) 5 Mei menyaksikan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Najib kembali berkuasa apabila parti gabungan itu menang 133 daripada 222 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.

Isnin lepas, Najib mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Balai Rong Seri, Istana Negara.

Sebelum Dewan Rakyat dibubarkan pada 3 April lepas, Kabinet merangkumi 25 kementerian dan diterajui oleh 28 menteri.

Najib turut menerajui Kementerian Kewangan serta memegang portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. — Bernama