Nasib Snowdan diketahui pada TDC bulan depan: Masing

2

KUCHING: Nasib Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Lawan dalam Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan diketahui pada Persidangan Delegasi Tiga Tahun Sekali (TDC) parti itu bulan depan.

Presiden PRS Tan Sri James Masing berkata, ketika ini parti tidak boleh mengambil sebarang tindakan ke atas Snowdan sehingga menerima laporan penuh daripada pemimpin akar umbi di Balai Ringin, sama ada Pengerusi PRS Balai Ringin itu telah melakukan perkara melanggar peraturan parti atau sebaliknya sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) le-pas.

“Saya tidak boleh meng-ambil tindakan ke atasnya (Snowdan), terpulang kepada akar umbi di Balai Ringin dan delegasi-delegasi pada TDC nanti, sama ada beliau akan dikekalkan dalam Majlis Tertinggi parti atau sebaliknya,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Snowdan yang juga Timbalan Setiausaha Agung PRS didakwa berkempen untuk calon Bebas, Donald Lawan iaitu bapa sendirinya di kerusi Parlimen Sri Aman sepanjang dua minggu berkempen pada PRU13 lalu.

Masing yang juga Menteri Kanan serta Menteri Kemajuan Tanah berkata, tindakan Snowdan itu jika benar se-perti didakwa amat menge-ce-wakan parti, tambahan beliau gagal menyatakan pen-diriannya berhubung isu tersebut.

Malah, katanya, sehingga semalam Snowdan tidak berjumpa dengannya dan cuma menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) selepas PRU13 mengatakan beliau masih menyokong dan bersama BN (Barisan Nasional) serta PRS dan kekal menyokong pucuk pimpinan parti.

“Saya dan parti akan faham jika Snowdan datang kepada kita dan menyatakan pendiriannya, misalnya, ‘Saya tidak boleh berkempen menentang bapa saya di Sri Aman, tetapi saya boleh berkempen di tempat lain, di Lubok Antu, Julau atau mana-mana kawasan PRS.’

“Parti akan faham dan saya sebagai orang tua juga bapa akan faham, tetapi beliau tidak berbuat demikian. Parti tidak tahu di mana beliau sepanjang tempoh berkempen PRU13 lepas.

“Saya tak nampak beliau di Lubok Antu atau kawasan-kawasan lain,“ ujar Masing sambil menambah, beliau sebenarnya bersimpati dengan nasib politik Snowdan yang berpunca daripada keegoan bapanya sendiri.

Donald, kata Masing, telah meletakkan Snowdan dalam situasi politik yang sangat sukar dan beliau sebagai ahli politik yang sudah matang mesti faham apa yang dilakukan akan memberi kesan kepada anaknya.

“Donald Lawan tidak boleh mengatakan parti tidak boleh mempersalahkan anak-nya (Snowdan) atas apa yang beliau telah lakukan. Itu alasan yang tidak kukuh,” tegasnya.

Sementara itu beberapa hari lalu, Ketua Pergerakan Pemuda PRS Balai Ringin, Tuai Rumah Alex Libau dilaporkan mendakwa mereka mempunyai bukti untuk mengesahkan bahawa Snowdan berkempen untuk bapa-nya.

Menurutnya, Snowdan harus menanggung akibat kerana berkempen untuk bapanya menentang calon BN, Masir Kujat pada PRU13 lalu.

“Kami ada bukti rakaman suara ucapan beliau yang terang-terangan berkempen untuk bapanya sambil menidakkan kedudukan Masir pada PRU13 pada satu program di Rumah Bita, Ensebang Padang Bilon dan Rumah Semuel, Pupuk Jaya, Simunjan baru-baru ini.

“Lantaran itu, kenyataan Snowdan selama ini yang menyebut bahawa dirinya langsung tidak berpihak dengan bapanya (Donald) dan Masir pada PRU13 adalah bercanggah sama sekali,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Masing berkata Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) Larry Sng harus mengikut jejak bapanya, Datuk Sng Chee Hua bersara daripada politik dan membubarkan parti tersebut.

“SWP seharusnya tutup kedai kerana pengasas parti itu sudah bersara (daripada politik). Itu sahaja yang mahu saya katakan. Jika sesebuah parti politik itu ditubuhkan berlandaskan dasar-dasar politik yang tidak kukuh, ia tidak akan kekal lama,” ujar-nya.

Pada PRU13 lepas, kesemua enam calon SWP gagal menang di kerusi PRS, malah calonnya hilang deposit di Sri Aman dan Kanowit.