Pasukan khas siasat jenayah senjata api

0

KUALA LUMPUR: Polis melancarkan gerakan besar-besaran memburu kumpulan penjenayah yang membunuh sasaran dengan senjata api menerusi penubuhan pasukan khas di setiap kontinjen negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin memberitahu Bernama langkah segera itu yang dibuat susulan banyak kes bunuh menggunakan senjata api mutakhir ini, menunjukkan keseriusan polis menangani kejadian tersebut.

Menurut Mohd Bakri, pa-sukan khas itu diketuai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

“Polis akan pantau pergera-kan serta fokus kepada siasatan dalam kes tembak yang telah berlaku,” katanya.

Insiden menembak mati individu termasuk berprofil tinggi menimbulkan kegusaran umum seperti kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim yang ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya pada 26 April lalu.

Kelmarin, seorang lelaki ce-dera parah selepas terkena dua das tembakan dalam kejadian di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Dato Suleiman, Johor Baharu, Johor.

Dua hari lepas dua lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas ditembak ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Bukit Tambun, Pulau Pinang, dipercayai berkaitan perniagaan.

Mohd Bakri yakin pasukan khas yang ditubuhkan itu dapat menyelesaikan beberapa kes sedemikian dalam masa terdekat.

Menurut rekod Bukit Aman, sepanjang 2012 Selangor merekodkan peningkatan tertinggi kes membabitkan penggunaan senjata api diikuti Pulau Pinang, Kedah, ibu negara dan Kelantan.

Beberapa faktor seperti kepadatan penduduk menyum-bang kepada peningkatan jenayah senjata api di negeri terbabit selain kedudukannya bersempadan dengan negara jiran yang menyebabkan senjata api lebih mudah diperoleh.

Sementara itu, penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim melihat pemansuhan beberapa undang-undang seperti Akta Tahanan Rumah dan Akta Keselamatan Dalam Negeri menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan kes kerana polis tidak boleh menahan penjenayah tanpa pembuktian yang cukup.

Justeru, beliau mencadangkan penjenayah yang dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan senjata api harus dibaca bersama dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Kamal Affendi turut meng-anggap sikap masyarakat yang kurang berfungsi sebagai mata dan telinga polis, ter-utamanya masyarakat di sempadan, menjadi penyumbang utama gejala penyeludupan senjata api sukar dibendung dan bukan faktor kelemahan kawalan sempadan.

Selain tiga kes tembak mati yang disebut di atas, terdapat 12 kes tembakan dilapor bagi bulan April dan Mei setakat ini, melibatkan tembak mati, pembunuh upahan, tembak cedera dan balas dendam iaitu:

11 Mei – seorang pembantu kedai barang-barang lusuh ditemui mati di dalam kereta yang dipandunya dengan 10 kesan tembakan di persimpangan lampu isyarat Taman Kucai di Lunas.

7 Mei – seorang lelaki ce-dera parah ditembak dari jarak dekat ketika sedang minum bersama beberapa rakannya di sebuah kedai makan di Sungai Daun.

30 April – seorang lelaki cedera ditembak ketika berada di dalam kereta berhampiran Pasar Borong Selayang.

30 April – seorang lelaki nyaris maut apabila dua lelaki menaiki motosikal secara tiba-tiba melepaskan satu das tembakan ke arahnya yang ketika itu berada dalam kawasan pagar rumahnya di Simpang dekat Taiping.

26 April – seorang lelaki mati ditembak di hadapan lampu isyarat di bulatan Taman Billion, Cheras.

23 April – seorang pemandu teksi ditembak mati dua lelaki ketika menikmati makan malam bersama isteri dan anak perempuannya di sebuah restoran di Batu 14, Kampung Baharu Puchong, Selangor.

14 April – seorang lelaki mati ditembak dari jarak dekat ketika sedang makan bersama keluarganya di sebuah restoran di Pusat Komersial Oakland, Seremban 2, Negeri Sembilan.

12 April – seorang ahli perniagaan maut selepas ditembak dua lelaki di persimpa-ngan lampu isyarat Jalan Sungai Ujong berhampiran Taman AST, Seremban.

7 April – dua beradik ce-dera parah selepas ditembak seorang lelaki yang tidak dikenali di kawasan rumah mereka di Taman Bayu Mutiara, Pulau Pinang.

6 April – lapan orang yang sedang menikmati makanan di sebuah restoran di Jalan Dedap, Johor Jaya, cedera setelah terkena tembakan rambang yang dilepaskan tiga lelaki bertopeng.

5 April – seorang pegawai polis dan keluarganya berdepan detik mencemaskan apabila kediaman mereka di Taman Seremban Jaya, di sini ditembak bertalu-talu oleh dua lelaki.

2 April – seorang lelaki maut selepas terkena sembilan daripada 15 das tembakan yang dilepaskan dua individu dalam kejadian di kawasan flat Taman Sri Serdang, Selangor dan pada hari yang sama juga seorang peniaga maut selepas terke-na tujuh das tembakan yang dilepas lelaki tidak dikenali di Lingkaran Pantai Jerjak, Pulau Pinang. — Bernama