Perpaduan kaum fokus utama

0

BNBBC akan turut tumpu persediaan hadapi Pilihan Raya Negeri pada sidang DUN

KUCHING: Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Negeri akan menekankan perpaduan pelbagai kaum di Sarawak pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Sarawak Ke-18 yang dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 29 Mei ini.

Setiausaha Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Negeri Dr Abdul Rahman Junaidi memberitahu, tumpuan menerusi ucapan dan perbahasan perlu diberikan terhadap isu tersebut, lebih-lebih lagi setelah ia kelihatan digoyahkan semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Beliau berkata, semua wakil rakyat BN perlu terus memberi penekanan terhadap perpaduan pelbagai kaum di Sarawak, memandangkan ia adalah teras pembangunan di negeri ini sejak sekian lama.

“Justeru, peranan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) BN ialah mengembalikan kesinambungan perpaduan kaum yang terjalin sejak sekian lama.

“Kita akan membangunkan diri secara bersama-sama dan tidak ada kaum yang akan dipinggirkan,” katanya pada sidang media prapersidangan DUN selepas Mesyuarat BNBBC di Kompleks DUN di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi BNBBC Negeri Abdullah Saidol dan Bendahari Snowdan Lawan.

Menurut Dr Rahman lagi, penekanan sedemikian wajar diberi meskipun majoriti pengundi kaum Cina tidak memihak kepada BN pada PRU13 lalu.

ADUN Pantai Damai itu berkata, selain memberi tumpuan terhadap kawasan DUN masing-masing, persidangan itu turut menekankan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri seterusnya.

“Walaupun kebanyakan isu menfokuskan PRU13, tetapi Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar mahu ahli BNBBC turut memberi tumpuan terhadap kawasan masing-masing dan rancangan serta persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Abdullah memberitahu, BNBBC dalam ucapan dan perbahasan akan menentang budaya perhimpunan yang cuba dibawa ke negeri ini.

“Kita baharu selesai PRU13, kita tahu apa yang berlaku, jadi kita semua dalam BNBBC secara bulat suara dalam ucapan nanti tidak bersetuju dengan budaya perhimpunan,” katanya.

BNBBC turut berharap agar lebih jawatan menteri penuh atau timbalan menteri di peringkat persekutuan dapat diberikan kepada Ahli Parlimen dari Sarawak, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan pembangunan luar bandar.

“Penekanan di kawasan luar bandar masih perlu di Sarawak,” katanya.