Belia Kampung Penat gembira dapat gelanggang futsal baharu

0

MUKAH: Belia Kampung Penat ternyata gembira selepas sebuah gelanggang futsal dibina oleh pihak kerajaan baru-baru ini.

Pembinaan gelanggang futsal tersebut siap pada tahun lepas menerusi peruntukan bina baru di bawah projek khas bernilai RM60,000 yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Datuk Fatimah Abdullah.

Seorang penduduk Man Long, memberitahu kewujudan gelanggang tersebut telah memberi banyak kebaikan kepada golongan belia di kampung mereka.

“Dengan adanya gelanggang ini, anak-anak muda dapat mengisi masa lapang mereka dengan bermain futsal pada waktu petang dan ia dapat mengelak mereka daripada membuang masa dengan melepak.

“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan yang prihatin terhadap keperluan anak-anak muda sekarang ini,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Shahlin Tahir berkata, beliau seronok apabila melihat anak-anak muda bermain di gelanggang baharu tersebut.

“Saya melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan yang memahami kehendak golongan belia pada masa ini.

“Saya secara peribadi berpuas hati dengan sumbangan kerajaan kepada kami di sini yang telah memberi gelanggang futsal untuk kegunaan kami bersama,” katanya.

Nasir Jol pula memberitahu, dia bermain futsal bersama rakan-rakannya setiap petang di gelangang tersebut.

“Sebelum wujudnya gelanggang tersebut, jika kami ingin bermain bola, kami hanya bermain bola di di kawasan tepi pantai dan membina tiang gol melalui kayu yang kami buat sendiri. Namun, selepas adanya gelanggangg futsal ini kami dapat bermain dengan selesa,” katanya.