JAIP buru 12 lagi pengikut ajaran sesat Tuhan Harun

0

KUANTAN: Dua belas pengikut kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun diburu pihak berkuasa berikutan kegagalan mereka hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di sini kelmarin untuk sebutan kes.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Raflie Ab Malik berkata, mahkamah itu telah mengeluarkan waran tangkap ke atas mereka yang berusia 12 hingga 41 tahun untuk hadir ke pejabat JAIP bagi membantu siasatan atas dakwaan menyimpan dan memiliki dokumen yang bercanggah dengan hukum syarak.

“Mereka yang diburu itu ialah isteri ketiga kepada ketua kumpulan itu, Harun Mat Saad, 47, iaitu Azida Mohd Zol, 30, dari Kuala Terengganu, Terengganu dan empat anak “Tuhan Harun” iaitu Mahni, 12, Saufi, 18, Lukman, 20, dan Muhammad, 21 tahun.

“Turut diburu ialah Khairul Amir Akasah, 34, (Port Dickson, Negeri Sembilan), Mohd Tirmizi Othman, 17, (Sungai Petani, Kedah), Mohamad Ghazali Fitri Mohd Azam, 25, (Shah Alam), Norhairi Harun, 41, (Skudai), Norhafizah Mohd Azam, 28, (Shah Alam) dan Farhaien Othman, 22, (Sungai Petani, Kedah) dan Shuzliana Mokhtarudin, 29, (Slim River, Perak),” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kelmarin, enam lelaki dipercayai pengikut kumpulan ajaran sesat itu didakwa di Mahkamah Rendah Syariah atas tuduhan menyimpan dan memiliki dokumen yang bercanggah dengan hukum syarak.

Pada 24 April lepas, ketua kumpulan itu, Harun Mat Saad, 47, didakwa di Mahkamah Syariah di sini atas 11 pertuduhan termasuk menyebarkan ajaran sesat dan menghina agama Islam dengan mengaku sebagai Tuhan.

Menurut Raflie, beliau percaya kesemua mereka masih berada di dalam negara dan berharap segera menyerah diri bagi membantu JAIP melengkapkan siasatan.

“Kita turut mendapatkan bantuan daripada jabatan agama Islam seluruh negara, pasukan polis dan agensi kerajaan bagi membantu mengesan lokasi terakhir mereka berada.

“Ini berikutan mereka gagal dikesan atau dihubungi selepas dibebaskan dengan dua orang penjamin pada 5 Mei lepas, selepas ditahan di sebuah premis di B16-1st, Lorong Pandan Damai 2/201, Kuantan pada 6.50 petang, 4 April lepas,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti 312 lagi anggota kumpulan terbabit di seluruh negara.

“Nama mereka sedang dikenal pasti dan kita akan mohon waran untuk memanggil mereka kerana mereka antara individu penting dalam gerakan tersebut,” katanya.

Kelmarin, enam pengikut ajaran sesat Tuhan Harun atau Tuhan 2013 yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dokumen yang bercanggah dengan syariat Islam pada April lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang membawa hukuman denda RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Abdul Wahid Md Ali Al-Fakwie menetapkan 27 Ogos ini untuk menjatuhkan hukuman berikutan wujud masalah teknikal pada barang-barang bukti yang dirampas pada tarikh tertuduh ditangkap. — Bernama