Kabinet M’sia dibarisi ramai wakil Sarawak

0

KUCHING: Barisan kabinet persekutuan baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam me-nyaksikan tujuh menteri penuh dilantik daripada kalangan Ahli Parlimen Sarawak.

Empat daripadanya meru-pakan Ahli Parlimen daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu Datuk Fadillah Yusof sebagai Menteri Kerja Raya, Datuk Rohani Karim (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Dato Sri Douglas Uggah Embas (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) dan Nancy Shukri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Manakala Datuk Joseph Entulu Belaun daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Datuk Richard Riot Jaem daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebagai Menteri Sumber Manusia.

Sementara seorang lagi menteri dari Sarawak adalah Senator Datuk Seri Idris Jala yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Kabinet persekutuan yang baharu itu turut memperlihatkan tiga timbalan menteri dilantik daripada PBB iaitu Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Timbalan Menteri Dalam Ne-geri, Datuk Alexander Nanti Linggi (Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Willayah) dan Datuk Seri Dr James Dawos Mamit (Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar).

Seorang lagi timbalan menteri dilantik dari Sarawak ialah Datuk Joseph Salang Gandum (PRS) sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Kali ini juga menyaksikan lebih ramai Ahli Parlimen dari Sarawak dilantik sebagai menteri penuh berbanding barisan kabinet terdahulu, hanya dua menteri penuh dilantik sementara tujuh merupakan timbalan menteri.

Bagaimanapun barisan Kabinet yang baharu ini tiada seorangpun Ahli Parlimen daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dilantik sama ada sebagai menteri penuh atau timbalan menteri berbanding barisan kabinet terdahulu dua timbalan menteri dilantik daripada parti itu iaitu Datuk Jacob Dungau Sagan (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Jelaing Mersat (Timbalan Menteri Pengangkutan).

Sementara itu Presiden PRS Tan Sri James Masing berkata pelantikan Entulu sebagai menteri penuh sesuatu yang dijangkakan dan beliau amat berterima kasih kepada Najib kerana mempertimbangkan permintaan PRS agar jawatan menteri diberikan kepada parti itu.

“Namun saya tidak faham pelantikan Datuk Richard Riot sebagai menteri penuh sedangkan parti yang diwakilinya (SUPP) kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-13…politik biasanya tidak berpihak kepada yang kalah tetapi memberi anugerah kepada yang menang.

“Saya tidak terkejut jika ada Ahli Parlimen PRS tidak gembira dengan apa yang berlaku (barisan kabinet persekutuan yang baharu),” ujarnya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) semalam apabila diminta mengulas mengenai pembentukan kabinet Najib yang baharu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah pula menyifatkan pelantikannya menerajui kementerian itu sebagai sesuatu yang menarik bagi membangunkan dan membantu golongan petani khasnya di luar bandar.

Uggah yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menjelaskan, antara pembangunan pertanian yang akan diberi tumpuan termasuk tanaman seperti getah, kelapa sawit, lada hitam dan banyak lagi.

“Saya berharap dapat me-rangka beberapa program untuk petani dan saya tahu Sarawak banyak menyumbang dari segi tanaman sedemikian.

“Sudah pastinya pelantikan yang diberikan kepada saya ini akan meningkatkan lagi pembangunan sosio-ekonomi kepada petani dan saya akan berusaha mencari langkah baharu untuk meneruskan pembangunan industri ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Mengulas mengenai pe-lantikan beberapa wakil dari Sarawak, Uggah yang juga Ahli Parlimen Betong berkata ia mencerminkan bahawa Perdana Menteri mengakui sumbangan landskap politik BN Sarawak, yang sentiasa menyumbang kepada majoriti dua pertiga kepada BN.

Sementara itu, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata beliau akan menggunakan segala kepakarannya dalam bidang alam sekitar untuk menambah baik perkhidmatan kemen-terian itu.

Beliau bagaimanapun me-ngakui tidak banyak dapat dilakukan sebagai Timbalan Menteri kerana segala keputusan terletak di tangan menteri penuh.

“Saya gembira dengan porfolio baharu ini tetapi sebagai timbalan menteri saya hanya mengikut arahan atau keputusan dibuat oleh menteri penuh. Apapun saya akan berusaha melakukan yang terbaik,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dawos dan Uggah antara 10 Ahli Parlimen dari Sarawak yang dilantik membarisi kabinet baharu persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam.