Manfaatkan alam siber untuk sebar maklumat mengenai isu tanah – Awang Tengah

2

KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak harus memanfaatkan alam siber untuk menyebarkan maklumat mengenai isu tanah di negeri itu, kata Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Ini kerana katanya generasi muda kini lebih cenderung kepada Internet bagi mendapatkan maklumat dengan cepat, justeru jabatan itu tidak boleh bergantung kepada media tradisional semata-mata.

“Perkara ini perlu dipertimbang bagi meningkatkan lagi penyebaran maklumat kita,” katanya ketika merasmikan Hari Inovasi dan Integriti jabatan itu, di sini malam tadi.

Katanya penggunaan teknologi siber yang berkesan disertai maklumat yang mudah difahami akan memperkukuhkan lagi usaha jabatan itu menyebarkan maklumat.

Isu tanah ini sering dikitar semula dan diperbesar-besarkan oleh pembangkang yang memutar belit maklumat tidak lengkap daripada badan bukan kerajaan tempatan dan asing yang kemudian disebar menerusi Internet, katanya.

“Kita diserang dengan propaganda rekaan pihak-pihak yang tidak memahami atau enggan memahami, dan kita mesti menjawab isu ini menerusi cara yang kreatif dan berinovasi,” katanya. — BERNAMA