Pelatih PLKN dibenar tamat latihan lebih awal untuk lanjut pelajaran

0

NILAI: Semua pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), matrikulasi dan tingkatan enam akan diberikan pelepasan tamat latihan lebih awal.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, perkara itu yang merupakan pembaharuan yang diperkenalkan jabatan itu tahun ini bertujuan membolehkan pelatih yang melanjutkan pelajaran membuat persiapan secukupnya sebelum mendaftar kemasukan.

“(Bagi Kumpulan Dua Siri 10) pelajar-pelajar yang mendapat tawaran IPTA yang akan mendaftar kemasukan ke IPTA awal Jun nanti, kita telah putuskan akan lepaskan mereka pada 26 Mei ini.

“Begitu juga yang mengikuti program matrikulasi mereka akan dibenarkan keluar mengikut tarikh kemasukan matrikulasi masing-masing, yang mana seminggu lebih awal dari tarikh mereka mendaftar. Bagaimana pun mereka perlu mengemukakan surat tawaran masing-masing,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa siri lawatan delegasi Perkhidmatan Sosial Tentera Oman yang diketuai Brigadier Mahmud Harith Nasser di Kem Sri Perkasa Mantin, di sini semalam.

Program PLKN bagi Kumpulan Dua Siri 10, tahun ini yang bermula 30 Mac lepas akan berakhir pada 21 Jun depan.

Bagi pelatih yang memasuki Tingkatan Enam pula, Abdul Hadi berkata perkara itu telah dibincangkan dengan Kementerian Pelajaran yang mana pelajar dibenarkan untuk mendaftar lewat ke sekolah iaitu sehingga 3 Jun depan.

Beliau berkata, walaupun pelatih-pelatih ini diberi pelepasan tamat latihan lebih awal, mereka tetap dianggap telah selesai menjalani latihan dan akan diberi sijil tamat latihan.

Katanya, langkah membenarkan pelatih yang terlibat menamatkan latihan lebih awal juga akan dapat mengurangkan kes penangguhan para peserta untuk menjalani latihan tersebut.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata sejak diperkenalkan pada 2004, PLKN telah menerima kunjungan banyak delegasi dari pelbagai negara yang mahu meninjau pelaksanaan dan keberkesanan program itu.

Katanya, hasil maklum balas yang diterima daripada delegasi-delegasi ini mendapati, PLKN berjaya memberi kesan yang memuaskan walaupun hanya dijalankan selama tiga bulan. — Bernama