Polis cekup bekas banduan

0

KOTA KINABALU: Polis Kudat berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes curi motosikal di daerah itu dengan penahanan seorang bekas banduan dalam satu kejadian di sini kelmarin.

Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun, itu dipercayai mempunyai rekod jenayah lampau termasuk pecah rumah dan curi kenderaan berjaya ditahan polis ketika operasi Ops Lejang/Ops Kesan dijalankan di sini.

Ketua Polis Daerah Kudat, Deputi Superitendan Dawi Ossen, berkata hasil tangkapan itu berjaya membawa kepada penemuan sebuah motosikal jenis Kriss CT 100 yang dipercayai hasil curi daripada kegiatan suspek.

“Siasatan awal kita mendapati dengan tertangkapnya suspek itu, pihak polis Kudat berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes curi motosikal di daerah ini.

“Kita juga telah menyemak rekod lampau suspek yang ditangkap dan didapati suspek pernah dipenjarakan atas enam kes jenayah termasuk pecah rumah, curi kenderaan dan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Tangkapan dan rampasan telah di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat untuk siasatan lanjut.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.