66 ahli SARA terima sijil kejuruteraan

0

SIBU: Seramai 66 ahli Persatuan Juruteknik Kenderaan Sibu (SARA) menerima Sijil Kejuruteraan pada Majlis Penyampaian Sijil Kejuruteraan 2013 di sini semalam.

Majlis penyampaian sijil disempurnakan oleh Pengerusi SARA, Teo Ngiing Poh dan disaksikan Presiden Persekutuan Persatuan Pemilik Bengkel Automobil Malaysia, Too Peng Huat.

Dalam ucapannya, Too memberitahu, kerajaan akan melaksanakan syarat peraturan yang lebih ketat kepada mereka yang ingin membuka perniagaan bengkel pada 2015.

“Oleh itu, semua pemilik bengkel kenderaan perlu memiliki sijil kejuruteraan dan mereka yang terlibat dengan perniagaan ini telah memulakan program yang dijalankan bermula tahun lalu.

“Saya turut berharap mereka yang menyertai program ini mendapat sijil kejuruteraan masing-masing bagi memastikan operasi bengkel berjalan lancar ketika peraturan mula dilaksanakan tahun 2015,” katanya.

Too turut berharap mereka yang melibatkan diri dalam industri automobil dapat mempertingkatkan kemahiran diri bagi memastikan mereka mampu bersaing antara satu sama lain.

“Diharapkan mereka yang telah menerima sijil kejuruteraan juga dapat terus memantapkan dan mempertingkat tahap kecekapan seiring dunia teknologi semasa,” ujarnya.

Sementara itu, Teo berkata persatuan itu merancang membeli tapak tanah milik persatuan bagi mendirikan pusat membaiki kereta.

“Persatuan telah mengenal pasti lokasi tapak tanah untuk mendirikan pusat membaiki kereta dan pengangkutan kargo. Persatuan berharap rancangan ini dapat menjadi realiti.

“Oleh itu, persatuan berharap kerajaan dapat menyediakan bantuan bagi meringankan beban persatuan dalam merealisasikan perancangan,” katanya sambil memberitahu perancangan masih di peringkat perbincangan.

Beliau berkata, persatuan juga akan menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk menyediakan subsidi pembelian alat ganti.

“Kerajaan Singapura telah menyediakan subsidi sebanyak 60 peratus kepada pemilik bengkel kenderaan. Ini menyebabkan mereka tidak mengalami sebarang masalah membuat pembelian alat ganti,” katanya.