Dua lelaki cuba jual pakaian curi dicekup

0

KUCHING: Cubaan dua lelaki menjual pakaian yang dicuri dari sebuah kedai pakaian sukan membawa padah selepas kedua-dua mereka dicekup ketika sedang berurusan dengan pelangan mereka, malam kelmarin.

Kedua-dua suspek yang juga pekerja di kedai pakaian sukan tersebut, ditahan di kuarters mereka di Matang selepas kegiatan terbabit berjaya dikesan oleh majikan mereka sekitar jam 12 tengah malam.

Difahamkan, sepasukan polis dari Unit D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching yang sedang menjalankan rondaan di kawasan berhampiran bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan berhubung kejadian.

Selain dua suspek tersebut, turut ditahan ialah seorang lelaki berusia 41 tahun dipercayai pelanggan mereka untuk membantu siasatan.

Pemilik kedai pakaian tersebut semasa ditemui memberitahu kesemua pakaian yang dicuri termasuk beberapa buah beg dianggarkan bernilai RM1,000 dan dia percaya ini bukan kali pertama perkara seumpama itu berlaku.

“Mereka curi dari dalam kedai dan sembunyikan di kuarters mereka sebelum menjualkan kepada orang lain dengan harga yang jauh lebih murah,” katanya.

Menurutnya lagi, kedainya juga terletak berhampiran dengan kuarters kedua-dua suspek yang mungkin antara faktor yang memudahkan kegiatan tersebut dijalankan.

Sehingga berita ini ditulis semalam, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 26 dan 33 berasal dari Asajaya bersama dengan lelaki dipercayai pelangan mereka masih ditahan reman.

Turut disita sebuah kereta jenis Perodua Kancil dipercayai milik seorang dari suspek sementara siasatan masih dijalankan.