Thursday, October 28

Riot tumpu isu pelaksanaan gaji minimum

1

MENTERI KAMI: Masyarakat Bidayuh dari Parlimen Serian menyambut ketibaan Riot di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam.

KUCHING: Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot Jaem yang akan memulakan tugasnya secara rasmi sebagai menteri kabinet Isnin ini akan memberi tumpuan kepada isu pelaksanaan gaji minimum.Beliau memberitahu, isu itu diambil perhatian kerana mahu ia diselesaikan sebelum Januari tahun depan.

“Isu lama yang perlu per­hatian adalah pelaksanaan gaji minimum kerana ia adalah satu isu yang perlu diselesaikan se­belum Januari tahun hadapan dan saya akan meneliti perkara ini sebaik sahaja masuk ke pejabat baharu pada Isnin ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik VIP selepas tiba di Lapangan Ter­bang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, semalam.

Pada masa sama, Riot mem­beritahu beliau turut mem­punyai pelan jangka pendek 50 hari, 100 hari dan 150 hari untuk menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan ke­menterian itu.

Malah, beliau menjelaskan kakitangannya dari kemente­riannya sebelum ini akan diserap ke kementerian baha­runya bagi membantu beliau di situ kelak.

Ketika diminta mengulas mengenai isu pekerja asing, Riot menjelaskan perkara itu akan dilihat sebaik sahaja beliau masuk ke pejabat ba­harunya itu.

“Saya belum lagi masuk ke pejabat baharu dan saya akan terbang balik ke Kuala Lumpur Isnin ini untuk meng­galas tugas sebagai menteri penuh, baharulah saya boleh menjawab pertanyaan itu,” katanya.

Beliau yang mencipta seja­rah sebagai bangsa Bidayuh pertama dilantik menteri penuh dalam kabinet Ma­laysia berkata: “Saya tidak akan menghampakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan menggalas tugas sebagai menteri penuh dengan sebaik-baiknya.”

Pada masa yang sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada Najib atas keper­cayaan melantik beliau sebagai menteri penuh.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada PM kerana keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap saya untuk membarisi jentera kabinet dan juga terhadap Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kerana tanpa sokongan beliau, saya tidak fikir saya berada di kedudukan ini,” tambah­nya.

Malah, Riot turut me­luahkan rasa teruja apa­bila ketibaannya di LTAK semalam disambut meriah oleh kira-kira 200 penduduk dari Serian termasuk tiga cahaya matanya.

Sementara itu, ketika di­minta mengulas mengenai ada pihak mempersoalkan pelan­tikan beliau sebagai menteri penuh meskipun Parti Rak­yat Bersatu Sarawak (SUPP) hanya menang satu kerusi daripada yang ditandingi pada PRU13, Riot bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.

“Saya enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana pelantikan ini atas budi bicara PM dan kepercayaan beliau terhadap seseorang untuk menggalas tugas yang telah diberikan,” ujarnya.