Teruskan kematangan politik Dayak

2

KEK KEMENANGAN: (Dari kiri) William Nyalau, Aaron, Masing, Entulu, Salang, Masir dan Ugak meniup lilin pada kek bagi meraikan kemenangan mudah PRS pada PRU13, malam kelmarin. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing berharap kematangan politik di kalangan masyarakat Dayak akan berterusan pada tahun-tahun akan datang.

Dengan adanya kematangan politik, Masing percaya masyarakat Dayak tidak akan dipandang rendah oleh kumpulan lain serta tidak lagi dianggap sebagai pihak yang boleh dijual demi kepentingan peribadi.

“Beberapa parti politik berada dalam keadaan kucar-kacir selepas hari penamaan calon 20 April lepas di mana mereka yang tidak dicalonkan mula marah dan menentang parti mereka sendiri.

“Tetapi kita di PRS tetap bergabung rapat dan berjuang sebagai pasukan yang bersatu menentang pihak lawan sehingga berjaya menyapu bersih kesemua enam kerusi Parlimen yang diperuntukkan.

“Ini menunjukkan kematangan kita dalam politik dan saya amat bangga menjadi pemimpin sebuah parti yang masih bersatu walaupun ada usaha untuk memecahbelahkan PRS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan penyokong dan ahli-ahli PRS pada Majlis Kesyukuran Meraikan Kemenangan PRS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di KTS Garden di sini malam kelmarin.

Terdahulu dalam ucapannya, Masing memberikan penghargaan kepada semua warga PRS di seluruh Sarawak kerana telah bekerja keras untuk memastikan kejayaan seperti yang dikecapi pada hari ini.

Katanya, walaupun PRS merupakan parti termuda dalam gabungan Barisan Nasional (BN), ia berjaya menghadapi segala rintangan yang datang dan memperoleh kemenangan yang besar.

“Pada masa ini, PRS merupakan parti yang keempat terbesar di Malaysia selepas UMNO yang menang 88 daripada 120 kerusi, manakala PBB menang kesemua 14 kerusi, MCA menang tujuh daripada 37 kerusi dan PRS menang kesemua enam kerusi.

“Di Sarawak pula, kita adalah parti yang kedua terbesar dan ini merupakan pencapaian yang memberangsangkan oleh sebuah parti yang lahir hanya lapan tahun lalu dan yang termuda dalam gabungan BN,” katanya.

Tambah Masing yang juga Menteri Kanan dan Menteri Kemajuan Tanah, tidak ramai penganalisis politik di Malaysia yang memberi kita peluang untuk memenangi kesemua kerusi yang dipertandingkan.

Malah, katanya, ada yang meramalkan bahawa PRS akan kehilangan kesemua enam kerusi tersebut dan tidak kurang juga yang meramalkan kekalahan di Selangau, Hulu Rajang dan Lubok Antu.

“Namun di ketiga-tiga kawasan tersebutlah di mana kita telah menang dengan majoriti yang besar, malah penganalisis politik meramalkan Selangau adalah kerusi yang paling goyah tetapi kini menjadi kerusi PRS yang paling kuat,” katanya.

Pada majlis itu, Masing turut memberi penghormatan kepada keenam-enam Ahli Parlimen PRS yang telah menang iaitu, Datuk Joseph Entulu Belaun (Selangau), Datuk Joseph Salang Gandum (Julau), Datuk Aaron Ago Dagang (Kanowit), Masir Kujat (Sri Aman), William Nyalau Badak (Lubok Antu) dan Wilson Ugak Kumbong (Hulu Rajang).

Turut hadir Setiausaha Agung PRS Datuk Wilfred Nissom, Ketua Pemuda PRS Datuk Mong Dagang, Ketua Pergerakan Wanita Senator Datuk Sophia Doris Brodie, Pengerusi Pengelola Majlis Wilson Nyambong serta yang lain.