TUKA edisi ke-10 mendapat sambutan menggalakkan

0

MIRI: Acara tahunan bagi mengumpul dana anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Miri, Tarian Untuk Kemanusiaan Antarabangsa (TUKA) edisi ke-10 berlangsung pada 23 Jun ini terus mendapat sambutan menggalakkan daripada orang awam termasuk badan korporat di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datin Judy Wan Morshidi berkata penyumbang terbaharu ialah Persatuan Melayu Miri (PMM) yang baru-baru ini menderma sebanyak RM1,500.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Presiden PMM, Datuk Wan Morshidi Tuanku Abdul Rahman semasa kunjungan jawatankuasa penganjur TUKA ke premis PMM tersebut.

“Selain memberi derma, PMM juga menghantar kumpulan penari untuk membuat persembahan semasa TUKA nanti. Turut menderma sebanyak RM1,000 ialah ahli Persatuan Wanita Petroleum Miri (PWPM) Rosie Chin,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Judy memuji Wan Morshidi yang juga suaminya di atas sumbangan yang pertama kali oleh PMM dan berharap pihak lain akan mencontohi beliau.

Beliau yang juga Naib Pengerusi PBSM Miri menambah, pihaknya turut menerima sumbangan sejumlah RM10,000 pada Mac lalu daripada syarikat pelaburan yang baharu dibuka iaitu di Miri iaitu Global Peace And Loving Family.

“Kita tersentuh hati dengan penderma yang begitu bermurah hati dan juga kumpulan penari yang bekerjasama mengumpul dana daripada orang awam. Setiap sen dan apa jua bentuk sumbangan amat dihargai,” ujarnya.

Setakat ini, sebanyak 50 kumpulan penari termasuk dari Kuching, Indonesia, Jepun dan penari tempatan dari Kolej Antarabangsa Fajar dan Sekolah Antarabangsa Tenby mengesahkan penyertaan dalam acara tersebut.

“Kita menyasarkan seramai 100 penari untuk mengambil bahagian dalam persembahan tanpa henti bakal berlangsung di Stadium Tertutup Miri, sekali gus mencatat Malaysia Book of Records,” katanya.

Sementara itu, kad bagi mengumpul derma telah diedarkan kepada orang ramai termasuk ahli-ahli, organisasi dan agensi berkaitan dan setiap derma RM5, orang awam layak memenangi hadiah cabutan tiket bertuah iaitu tiga hadiah utama di samping hadiah sagu hati yang lain.