355 orang meninggal dunia akibat AIDS di Sarawak

0

DIINGATI: Wakil daripada pelbagai persatuan keagamaan dan kepercayaan dari Sarawak menyalakan lilin sempena Hari Peringatan AIDS Antarabangsa di Kuching semalam.

KUCHING: Sarawak merekodkan 973 pesakit Sindrom Kurang Daya Tahan (AIDS) dari 1989 hingga 2012 dan daripada jumlah itu 355 orang dilaporkan telah meninggal dunia.

Pada tempoh sama juga 1,568 kes baharu berkaitan HIV (Human Immunodeficiency Virus) dan AIDS direkodkan.

“Jumlah yang direkodkan ini membimbangkan kerana ia menggambarkan kurangnya pemahaman dan kesedaran rakyat Sarawak mengenai AIDS,” kata Timbalan Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing semasa Hari Memperingati AIDS Antarabangsa (AIMD) Ke-30 di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS, semalam.

Menurutnya lagi, AIMD merupakan inisiatif diselaraskan oleh Rangkaian Global Orang Yang Hidup Dengan HIV bermula 1983 sebagai satu peringatan dan kempen bergerak komuniti bagi membangkitkan kesedaran sosial mengenai HIV dan AIDS.

Beliau berkata antara faktor utama merebaknya AIDS ialah mempunyai pasangan seks yang ramai dan seks tanpa perlindungan.

“Ada pesakit AIDS walaupun sedar sepenuhnya keadaan mereka masih mengamalkan seks tanpa perlindungan yang menyebabkan jumlah pesakit bertambah,” tegas Dr Chin.

Hari peringatan itu dihadiri pelatih dan wakil daripada pelbagai persatuan keagamaan itu juga memasang lilin sebagai memperingati hari yang disertai 1,200 organisasi komuniti daripada 115 negara.

“AIMD yang diadakan setiap Ahad ketiga bulan Mei disambut di Malaysia sejak 2006 dan ia merupakan campur tangan penting untuk perpaduan global, menghapuskan stigma dan diskriminasi dan pada masa sama memberi harapan kepada generasi baharu,” katanya.

Beliau juga berkata statistik ketika ini menunjukkan 33 juta orang menderita AIDS di seluruh dunia.

‘Dalam Perpaduan’ merupakan tema sambutan AIMD, menandakan perpaduan komuniti dunia yang menderita AIDS, ujarnya.

Dr Chin percaya suatu hari nanti jumlah kes berkaitan HIV dan AIDS akan menurun ketara apabila kempen serta inisiatif global seperti itu terus dilaksanakan.