Isu wanita Penan isu lapuk sengaja dibangkitkan: Rohani

1

BANGGA: Taib merakam kenangan bersama sebahagian menteri dan timbalan menteri dari Sarawak yang dilantik dalam barisan kabinet persekutuan selepas perjumpaan di Ibu Pejabat PBB di Kuching semalam. Turut kelihatan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu (empat kanan) dan Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (kanan).

KUCHING: Isu wanita Penan merupakan isu lapuk yang sengaja dibangkitkan oleh pembangkang untuk menarik perhatian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang baharu dibentuk.

Menterinya Datuk Rohani Abdul Karim berkata isu berkenaan telah ditangani oleh kementeriannya malah ketua setiausahanya telah diarah tinggal bersama dengan orang Penan selama seminggu hanya untuk mendapatkan punca sebenar masalah.

“Ketika isu itu dibangkitkan saya baharu sahaja masuk dalam kementerian dan saya telah memaklumkan kepada KSU saya adalah lebih baik beliau mengetengahkan tindakan yang telah diambil.

“Kami di kementerian sememangnya tidak mahu ada mana-mana masyarakat yang berhadapan dengan masalah seumpama itu di mana mereka ditindas dan didera secara seksual.

“Sebab itu, saya telah mengarahkan KSU saya supaya membuat kenyataan balas dan mempergiatkan usaha turun padang dari semasa ke semasa untuk memastikan masalah seperti ini tidak timbul lagi bukan sahaja di kalangan Penan malah kaum wanita secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas perjumpaan dengan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) di sini semalam.

Perjumpaan tersebut turut melibatkan menteri dan timbalan menteri dari Sarawak yang dilantik dalam barisan kabinet persekutuan yang baharu dibentuk oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Dalam perjumpaan itu, Ketua Menteri menurut Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar telah menasihati kesemua mereka yang telah dilantik agar menjalankan tugas dengan sebaiknya serta adil.

Ketua Menteri menurut Rohani turut menyarankan agar beliau melaksanakan persidangan perniagaan untuk wanita dan pada masa yang sama tidak mengabaikan keperluan masyarakat bandar yang kesempitan hidup.

Rohani dalam pada itu turut menggesa orang ramai khasnya rakyat agar memberi maklum balas kepada beliau mengenai keperluan mereka memandangkan penggubal dasar kadangkalanya terbatas dengan pendedahan tertentu.

“Saya memohon sesiapa untuk memberi maklum balas melalui e-mel atau secara atas talian dan sebagainya untuk membolehkan kementerian merangkumi sebanyak mungkin kumpulan sasaran dalam kementerian ini.

“Untuk makluman, saya ada lapan sasaran daripada orang tua, sehingga orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak, wanita, orang kena bencana, NGO, golongan papa dan miskin yang agak besar untuk kementerian ini,” ujarnya.

Rohani turut akan mengadakan pertemuan dan sesi dialog dengan pengerusi-pengerusi persatuan yang berkait rapat dengan kementeriannya untuk membolehkannya lebih memahami keperluan mereka sepanjang tempoh lima tahun ini.

Turut hadir pada perjumpaan itu semalam Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dato Sri Douglas Uggah Embas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi.