Pembinaan Pan Borneo diutama

8

KUCHING: Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang akan menghubungkan Sarawak dan Sabah antara yang akan diberikan keutamaan di bawah Kementerian Kerja Raya yang baharu dibentuk dalam tempoh lima tahun ini.

Bagaimanapun menurut Menterinya Datuk Fadillah Yusof kementerian perlu melihat keperluan utama negeri ini untuk memastikan apa yang dilaksanakan akan memberi nilai tambah kepada rakyat amnya.

“Seperti yang telah saya katakan, pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo merupakan salah satu daripada keutamaan kita untuk tempoh lima tahun ini tetapi pada masa yang sama kita perlu melihat ia daripada perspektif negeri.

“Apa keutamaan negeri? Pan Borneo adalah satu daripada penambahbaikan yang perlu kita buat kerana ini adalah apa yang rakyat jangkakan daripada kerajaan di bawah Kementerian Kerja Raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas perjumpaan dengan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak ” “ Datuk Fadillah Yusof Menteri Kerja Raya (PBB) di sini semalam.

Mengulas mengenai perjumpaan tersebut, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata ia lebih untuk mendapatkan panduan, arah tuju dan pada masa yang sama memahami apakah inspirasi di peringkat kerajaan negeri.

Perjumpaan tersebut juga diharapkan dapat membawa dan mencari penyelesaian di peringkat pusat memandangkan dasar yang dibangunkan di peringkat pusat kadangkalanya tidak sesuai digunakan di peringkat negeri.

“Jadi bagaimana kita dapat sesuaikan dengan keadaan setempat? Itu yang lebih untuk kita fahami tadi.

“Sebagai contoh, Pan Borneo…  kita harus lihat kawasan mana yang kritikal dan memerlukan penambahbaikan dahulu.

“Pada masa yang sama kita perlu melihat kawasan-kawasan lain yang memerlukan pembangunan lanjut dari segi menaik taraf infrastruktur jalan yang menghubungkan kawasan pedalaman.

“Dari situ, ada tambah nilai kerana kita bukan sahaja membawa pembangunan ke kawasan berkenaan tetapi secara tidak langsung meningkatkan pendapatan rakyat serta pendapatan negeri,” tambahnya.

Ditanya mengenai rancangan selepas ini, Fadillah berkata beliau akan memulakan tugas rasmi Isnin ini (hari ini) dan sebagai permulaan akan mendapatkan taklimat daripada kementerian mengenai bidang kuasa serta strategi yang telah disusun atur oleh kementerian.

“Hari ini saya sudah pun mendapat panduan daripada Ketua Menteri apakah keutamaan dan bagaimana saya harus menangani pembangunan infrastruktur di Sarawak kerana ia berbeza dengan keadaan muka bumi di Semenanjung Malaysia.

“Sarawak keadaannya agak unik dan dengan pemahaman ini saya kira akan mengadakan perbincangan lebih lanjut bukan sahaja dengan kementerian bahkan agensi-agensi di bawah Kementerian Kerja Raya.

“Perbincangan juga akan diadakan bersama kementerian di peringkat negeri supaya kita dapat koordinasikan apa yang akan kita gerakkan dari segi pembangunan infrastruktur agar ia dapat dijalankan dengan lebih cekap, efisien serta menjimatkan kos,” katanya.