Dua subkontraktor warga asing terlepas hukuman mati

0

MIRI: Dua subkontraktor warga asing terlepas dari hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi semalam memerintahkan mereka dibebaskan dan dilepaskan dari tuduhan membunuh seorang rakan senegara, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Stephen Chung Hian Guan setelah mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh dalam kes ini.

Rocky Usman, 38, dan Hamsa Yusop, 23, kedua-duanya dari Panamau, Filipina telah dituduh melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian seorang rakan senegara dikenali sebagai Murtaza Ali.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 7.30 malam, 20 Ogos 2011 di tepi jalan Lorong 4-10, Fasa 14, Taman Ceria Bandar Baru Permyjaya di sini.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh yang juga merupakan rakan kongsi perniagaan (kontraktor) dengan mangsa didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan itu, mereka boleh dikenakan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua yang diwakili peguam bela Ranbir Singh Sangha dan Arthur Lee diserahkan ke Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang ke negara asal mereka.