Site Last Updated 4:16 pm, Friday

Kes rogol bawah umur tidak pernah digugur: Gani

Posted on May 23, 2013, Thursday

PUTRAJAYA: Pendakwaan akan terus mengendalikan kes seorang gadis berusia 12 tahun enam bulan di Sabah yang didakwa dirogol seorang pengurus sebuah restoran berusia 40 tahun.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata kes itu masih berjalan dan Jabatan Peguam Negara tidak pernah menggugurkannya.

“Saya tidak mempunyai pilihan selain membuat kenyataan terbuka hari ini (semalam) yang bertentangan dengan pendapat kami. Selalunya, kami tak akan cakap sehingga siasatan penuh dilakukan tetapi dalam kes ini, anda memaksa saya mengambil tindakan yang bertentangan dengan prinsip tertentu, dan saya tiada pilihan kerana isu ini perlu dihentikan.

“Ini bukan satu kes yang mudah. Tolong faham dan biar kami selesaikan siasatan, berilah kepercayaan kepada kami untuk selesaikan tugas kami. Saya hanya boleh beritahu anda bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kejadian rogol membabitkan kanak-kanak, namun pada masa yang sama, kami juga perlu memastikan keadilan ditegakkan,” katanya kepada pemberita semalam.

Abdul Gani berkata, memandangkan mangsa enggan memberi keterangan, pasukan pendakwaan terpaksa bergantung kepada bukti lain seperti laporan Asid Deoksiri bonukleik (DNA), laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan laporan pegawai penyiasat berkaitan mangsa serta memeriksa akaun Facebook mereka, yang belum diperoleh.

“Dalam perkara ini, saya ada seorang saksi di mana kawan perempuan itu duduk di belakang kereta, tetapi apabila duduk di belakang, apa yang kita nampak adalah isu lain. Bagaimanapun, saya percayakan budak itu, jadi kita memerlukan keterangan lanjut daripada beliau dan kita perlu menganalisis keterangannya dengan teliti,” katanya.

Riduan Masmud, bapa empat anak, didakwa merogol mangsa dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Inanam, Sabah pada kira-kira 10 pagi, 18 Feb lepas, bagaimanapun, dia kemudian mengahwini gadis itu ketika kes sedang berjalan.

Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khatom Abd Samad kemudian memberi tempoh sehingga 6 Jun ini kepada Jabatan Peguam Negara sama ada ingin meneruskan kes itu atau sebaliknya.

Pada 7 Mei lepas, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazmeen Zulkifli memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai bantahan untuk kes itu ditarik balik selepas mangsa menarik balik laporan polis yang dibuat pada 18 April.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Chaw Siang Kong memberitahu mahkamah pada Isnin lepas bahawa pihaknya memerlukan masa untuk mengkaji semula kes itu kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Abdul Gani juga berkata terdapat isu wang RM5,000 dibayar kepada bapa mangsa oleh tertuduh yang disebut sebagai ‘Sogit’, iaitu satu bentuk pampasan di bawah undang-undang anak watan atau adat Sabah.

Bagaimanapun, Abdul Gani berkata beliau dimaklumkan bahawa tiada peraturan sedemikian di bawah undang-undang berkenaan daripada Mahkamah Adat, dan sehubungan itu, satu pasukan kecil khas dibentuk bagi menyiasat isu berkenaan.

“Pada pandangan saya, pada masa ini tiada bayaran ‘Sogit’ dari sudut perundangan.

Maka saya mengesyaki ia sama seperti rasuah. Jadi saya mengarahkan supaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) masuk campur dalam perkara ini,” katanya.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Presiden Persatuan Ibu Tunggal Sabah (PITS) Norhanida Anol mahu Riduan dihukum kerana mendakwa tertuduh membawa ‘satu gejala atau penyakit baharu’ yang boleh merosakkan masyarakat.

“Ini adalah perkara yang keji! Lelaki ini memberi satu platform kepada yang lain untuk bertindak (merogol) dan lari daripada kesalahan (dengan mengahwini mangsa).

“Kita mempunyai banyak masalah ketika ini, dan nampaknya kini kita juga terpaksa menangani gejala baharu seperti ini,” katanya kepada Bernama.

Norhanida berkata, beliau juga bimbang perkahwinan antara tertuduh dan managsa akan menimbulkan isu seperti perbuatan curang dan penderaan.

Beliau berkata, PITS sebelum ini terpaksa membantu wanita muda dan bayi mereka selepas ditinggal suami, keluarga serta perogol mereka.

Beliau berkata hakikat bahawa mangsa berasal dari keluarga miskin lebih membimbangkan kerana keluarga gadis itu mungkin akan melepaskan tanggungjawabmereka kepada suaminya.

Aktivis sosial Datuk Patrick Sindu pula berkata perbuatan Riduan melanggar undang-undang dan menyalah guna hak mangsa di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Lelaki ini telah mengambil kesempatan terhadap seorang kanak-kanak yang tidak berdosa untuk keseronokan sendiri dan dia berani mengatakan dia telah bertanggungjawab dengan mengahwini mangsa.

“Ini bukan kes ‘suka sama suka’ seperti yang lelaki itu dakwa.

Kerosakan telah berlaku dan dia ingat dia boleh lari daripada dikenakan tindakanundang-undang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Wanita dan Kanak-Kanak Persatuan Undang-Undang Sabah Datuk Mariati Robert berkata jika kes itu tidak dibicarakansepenuhnya, maka “ini merupakan hari yang menyedihkan untuk wanita dan gadis diMalaysia jika perogol fikir mereka boleh memperalat Mahkamah Syariah untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab dan liabiliti.”

“Hakikat bahawa lelaki itu kini berkahwin dengan mangsa tidak membebaskannya daripada pertuduhan merogol,” katanya.

Mariati juga menggesa Mahkamah Syariah mempertimbang untuk mendakwa lelaki itu atas pertuduhan berzina.

Riduan didakwa pada 28 Feb lepas dan kes itu ditetapkan untuk perbicaraan dari 1 hingga 4 Julai ini. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.