Remaja mengaku curi barang ibu

0

MIRI: Seorang remaja lelaki dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM500 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret pagi semalam kerana kesalahan mencuri barangan kepunyaan ibunya.

Hukuman itu dijatuhkan Penolong Kanan Pendaftar Mohd Redza Azhar Rezali setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Bob Geren Francis, 19, dari Desa Pujut 2 di sini telah didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, pada jam 10.07 malam, 13 Mei lalu, seorang suri rumah dari Desa Pujut 2, Permyjaya di sini telah membuat laporan polis di Balai Polis Lutong.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa pada jam 8.30 malam hari sama, semasa sampai di rumah, dia mendapati satu unit pemain DVD, empat unit pembesar suara dan satu unit telefon bimbit jenama Nokia yang disimpan di ruang tamu rumah telah hilang.

Pengadu mengesyaki kecurian itu dilakukan anak lelakinya (tertuduh) memandangkan sebelum ini, telah beberapa kali tertuduh mencuri barangan di dalam rumah mereka.

Setiap kali selepas melakukan kecurian, tertuduh akan meninggalkan rumah selama beberapa hari.

Bertindak atas maklumat diterima, pada jam 8 pagi, 14 Mei lalu, polis berjaya menangkap tertuduh di sebuah rumah di Desa Pujut 2 di sini kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas satu unit pemain DVD dan empat unit pembesar suara yang diletakkan di ruang tamu rumah tersebut untuk dijadikan barang kes.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.