Keluarga mohon remaja hilang pulang

0

KOTA KINABALU: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang dilaporkan hilang sejak 11 April lalu diharapkan pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.

Era Nengsih Elyas dilaporkan hilang selepas membuang sampah di kawasan perumahan di tempat mereka tinggal di Bukit Padang.

Kakaknya, Karlina Elyas ketika ditemui di pejabat Utusan Borneo kelmarin berkata memandangkan ketika itu beliau bekerja di luar kawasan, hanya ibunya sahaja yang berada di rumah.

Menurut ibunya, adiknya (Era) turun membuang sampah kira-kira jam 10 pagi dan tidak kembali ke rumah lagi sejak dari itu.

Karlina berkata, Era tidak mempunyai sebarang masalah peribadi dan tidak berhadapan dengan sebarang pergaduhan dengan ahli keluarga yang lain.

“Saya yakin adik saya masih berada di sekitar kawasan Kota Kinabalu. Saya amat berharap sesiapa sahaja yang menjumpai atau melindungi adik saya akan memintanya pulang segera ke pangkuan keluarga.

“Saya bimbang jika ada perkara yang tidak diingini berlaku kepadanya,” katanya.

Beliau berkata, kali terakhir adiknya itu keluar rumah, dia hanya memakai seluar pendek separas lutut bewarna merah jambu dan berbaju ungu.

Memandangkan ibu mereka yang berusia 52 tahun dalam keadaan yang tidak sihat kerana menghidap penyakit kencing manis, beliau sangat berharap adiknya itu akan segera kembali ke pangkuan keluarga.

Berikutan kehilangan Era, ibunya telah membuat laporan polis di Balai Polis Luyang pada 12 April lalu bagi membantu mencari remaja berkenaan.

“Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana kami tidak akan memarahi dia (Era) sekiranya dia kembali ke rumah. Keluarga saya hanya mahu agar dia balik ke rumah dengan selamat,” katanya.

Sesiapa yang menjumpai Era boleh menghubungi keluarga mereka di nombor 014 6706743 (Karlina), 016 8061567 (Karlo) atau hubungi ayanhya di nombor 019 8057325 (Nursalam).