PPM Tawau rampas ayam dari negara jiran

0

TAWAU: Cubaan menyeludup ayam hidup dari Nunukan, Indonesia ke negara ini menerusi sebuah feri penumpang gagal selepas dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau dalam Ops Landai, kira-kira jam 3.20 petang Selasa lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah, aktiviti penyeludupan ayam hidup dari negara jiran menimbulkan kebimbangan ekoran penularan wabak selesema burung (H1N1) di negara terbabit baru-baru ini.

“Walaupun hanya tiga ekor ayam yang direkodkan, namun rampasan ini penting kerana kita mahu mencegah hidupan sebegini daripada memasuki daerah ini demi mengekang wabak H1N1 daripada turut merebak di negara kita,” katanya di sini kelmarin.

Awang berkata, kejayaan terbaru itu dicatatkan hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan di bahagian ruang bagasi dan kargo feri terbabit yang baru sahaja tiba di daerah ini selepas bertolak dari Nunukan.

Mengulas lanjut, beliau berkata ayam-ayam terbabit disembunyikan di dalam kotak oleh pemilik ataupun penghantarnya dan pihak polis percaya hidupan berkenaan hendak dijual untuk pasaran tempatan.

“Bagaimanapun, tidak ada sebarang tangkapan dilakukan kerana seperti kebiasaannya tidak ada sesiapapun penumpang ataupun krew feri yang akan tampil mengaku sebagai pemiliknya,” katanya.

Awang berkata, kesemua ayam terbabit dirampas mengikut Seksyen 3 Ordinan Haiwan Negeri Sabah 1962 yang memperuntukkan hukuman satu tahun penjara dan denda sehingga RM2,000, jika sabit kesalahan.

Menyentuh hal berkaitan, beliau menyeru anggota masyarakat supaya sentiasa mematuhi peraturan dan mengambil langkah-langkah pencegahan sewajarnya untuk bersama-sama pihak berkuasa mengelak penularan penyakit berbahaya seperti H1N1 di negara ini.

“Walaupun rampasan yang dibuat pada kali ini amat kecil, namun sekurang-kurangnya ini adalah antara langkah pencegahan yang dilakukan untuk mengelak kemusnahan yang tidak kita ingini,” katanya.