Berundur jika tidak lagi komited berjuang untuk parti

0

SIMBOLIK: Karim melakukan tepung tawar ke atas Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang dan suaminya, Salleh Wasli pada Majlis Kesyukuran dan Terima Kasih Kemenangan BN Peringkat Parlimen Kota Samarahan semalam.

ASAJAYA: Ketua-ketua ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang tidak mampu memikul tanggungjawab diminta mengun­durkan diri untuk memberi laluan kepada mereka yang komited berjuang demi kesinambungan parti.

Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Majlis Tertinggi PBB Abdul Karim Rahman Hamzah yang memberi­tahu, pemilihan baharu ketua-ketua parti peringkat ranting bagi ka­wasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Selepas Mei ini, kita akan mengadakan pemilihan pemimpin (ketua) parti baharu peringkat ranting dan mereka yang tidak berupaya lagi untuk memimpin parti di ranting-ranting, silalah berundur dan berilah peluang kepada mereka yang bersemangat untuk memimpin parti,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya.

Beliau berkata demikan ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Terima Kasih Kemenangan Barisan Nasional (BN) Pering­kat Parlimen Kota Samarahan anjuran PBB DUN Asajaya di Dewan Sekolah Menengah Ke­bangsaan (SMK) Asajaya 2 di sini semalam.

Karim menegaskan, penggan­tian mereka yang tidak berupaya memimpin parti di peringkat ranting adalah amat penting dalam memastikan kesinambungan kekuatan PBB.

“Apa yang kita mahu pemimpin parti di peringkat ranting-ranting ini mempunyai semangat yang murni untuk berjuang demi parti, bukannya pemimpin parti yang hanya hidup pada masa tertentu sahaja.

“Kalau kita pilih pemimpin parti yang hanya hidup masa tertentu sahaja tanpa betul-betul mahu berjuang demi parti, saya rasa lebih elok mereka ini mengun­durkan diri kerana kita mahu PBB kekal kukuh dan terus bertapak di negeri ini pada masa hadapan,” tegasnya.

Pada majlis itu, Karim yang juga Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) dan Menteri Muda Perumahan berkata, kejayaan cemerlang calon BN Rubiah Wang dengan majoriti undi besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu tidak akan dapat dicapai tanpa kerjasama semua pihak yang mahu kawasan itu terus kekal menjadi kubu kuat BN.

“Sepanjang tempoh berkempen yang diadakan selama dua minggu, kita berjaya mengadakan kempen di lebih 100 buah kampung di kawasan Parlimen P.197 Kota Samarahan. Ini dapat dijayakan dengan adanya jentera parti yang kuat,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang berkata, isu-isu serta permo­honan yang dibangkitkan rakyat di kawasan itu akan dikumpul untuk dijadikan panduan ke arah penambahbaikan perkhidmatan kepada rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau memberitahu, ia akan dilaksanakan dengan kerjasama jentera parti di peringkat cawan­gan dan ranting serta dua wakil rakyat di kawasan itu.

Tambahnya, setiap isu dan permohonan daripada rakyat akan diberi perhatian utama untuk memastikan pembangunan yang berterusan Bahagian Samarahan.

“Kita kini dalam proses untuk mengumpul isu dan permohonan yang dibangkitkan rakyat se­masa pilihan raya yang lalu agar tindakan dapat diambil untuk menyelesaikannya,” ujarnya.