GST tingkat harga barangan dan perkhidmatan, kata Wong

0

KUCHING: ADUN Bukit Assek Wong Ho Leng berkata, Sarawak harus membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah diperkenalkan.

Jelas beliau, pelaksanaan GST akan meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan sekali gus menghakis pendapatan boleh guna rakyat khususnya bagi kelas pertengahan dan miskin.

“Majoriti rakyat Sarawak adalah miskin terutama penduduk peribumi.

“Ramai di kalangan mereka khususnya yang tinggal di rumah panjang tidak mempunyai bekalan elektrik dan air.

“Inikan lagi, mereka perlu membayar GST,” katanya ketika membahaskan usul pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, kelmarin.

Menurut Wong, kadar GST  ditetapkan kepada tujuh peratus juga akan menyumbang sebanyak RM27 bilion kepada peti simpanan persekutuan.

“Berdasarkan populasi rakyat, amaun tersebut ialah RM1,000 seorang setahun atau RM5,000 bagi setiap isi rumah sedangkan di bawah BR1M, setiap isi rumah hanya mendapat RM500.

“Itukah bagaimana kerajaan memberi ganjaran kepada rakyat miskin selepas pilihan raya,” katanya.