Kejiranan Mesra rapat masyarakat

0

KUCHING: Kewujudan Kejiranan Mesra Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bertujuan menjadikan masyarakat pelbagai peringkat umur lebih aktif dan berkumpul untuk menjayakan setiap aktiviti yang dirancang.

Ketua Bahagian Perhubungan dan Pembangunan Komuniti DBKU Basil Wee berkata, pada masa ini agak sukar untuk melihat masyarakat bersama kerana masing-masing sibuk dengan tugasan harian.

Justeru, menurutnya, DBKU akan membantu setiap Kejiranan Mesra agar dapat bertindak secara lebih aktif dalam menganjurkan pelbagai program untuk manfaat masyarakat secara menyeluruh.

“Kejiranan Mesra diwujudkan untuk membolehkan masyarakat lebih aktif.

“Ini kerana pada masa sekarang sukar untuk melihat masyarakat bersama,” katanya kepada pemberita semasa Program Kejiranan Mesra Kampung Tunku semalam.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 21 buah kampung Kejiranan Mesra DBKU ditubuh.

“Namun ada antara Kejiranan Mesra ini tidak begitu aktif. Saya berharap selepas ini semua Kejiranan Mesra dapat memainkan peranan masing-masing secara lebih efisien,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Basil, Kejiranan Mesra diwujudkan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya memelihara nilai murni dan memupuk semangat kejiranan.

“DBKU akan mengadakan ‘Re-Visit’ Kejiranan Mesra di setiap kampung terlibat untuk mengukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat,” jelasnya.

Program Kejiranan Mesra Kampung Tunku menyaskikan pelbagai aktiviti diadakan termasuk pertandingan grafiti, mewarna, ‘street soccer,’ chef muda dan pameran jualan yang disertai 21 buah Kampung Kejiranan Mesra DBKU.