Anjur program semai sifat cintakan negara: Rosmah

0

KUALA LUMPUR: Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) perlu menganjurkan lebih banyak program yang dapat menanam sifat cintakan negara dan menghargai keamanan sedia ada di kalangan generasi muda negara, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah yang juga Yang Dipertua PPPM berkata, keamanan dan kestabilan yang dinikmati di negara hari ini yang dibina oleh pemimpin-pemimpin negara terdahulu, perlu sentiasa dipertahan.

“Jika anda mahu musnahkannya, anda boleh musnahkannya dalam sekelip mata.

Tetapi anda mungkin memerlukan 40 hingga 50 tahun lagi untuk membinanya semula.

Jadi anda perlu fikir masak-masak mengenainya,” katanya pada majlis perasmian mesyuarat agung tahunan PPPM 2012/2013 di sini, semalam.

Perasmian mesyuarat itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah yang merupakan penaung PPPM.

Justeru, Rosmah berkata, pandu puteri yang mempunyai nilai disiplin tinggi mampu memainkan peranan penting itu untuk membantu menyemai kembali nilai-nilai murni dan semangat jati diri anak-anak muda kepada bangsa dan negara.

“Saya yakin, melalui disiplin serta peraturan seperti pandu puteri dalam pelbagai aktiviti kepanduan, sedikit sebanyak para remaja dapat didedahkan kepada ketinggian perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta prinsip Rukun Negara.

“Dalam konteks yang lebih luas, inilah elemen yang amat penting yang perlu disemat dan difahami oleh setiap remaja bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan negara dikekalkan,” kata beliau.

Dalam pada itu, untuk memastikan PPPM kekal relevan dalam masyarakat masa kini, Rosmah berkata persatuan itu mesti memperbanyak dan menambah baik program-program bersama rakyat.

Katanya, selaras dengan tema pandu puteri tahun ini iaitu ‘Together We Can Save Children’s Lives and Every Mother’s Life and Health is Precious’ (Bersama-sama Kita Boleh Menyelamatkan Nyawa Kanak-kanak dan Nyawa Setiap Ibu dan Kesihatan Amat Berharga), beliau menyarankan pandu puteri memfokuskan program-program mereka di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Sebagai contoh di kawasan FELDA dan perkampungan Orang Asli.

“Bagi saya, golongan ini lebih memerlukan khidmat berkenaan oleh kerana mereka kekurangan akses kepada penjagaan dan fasiliti yang lengkap seperti (yang ada) di bandar-bandar besar,” katanya.

Katanya, program-program kemasyarakatan dan kesukarelawanan pandu puteri yang melibatkan gadis muda juga perlu dipergiat dan dijadikan satu budaya hidup mereka.

Seramai 204 perwakilan dari seluruh negara menghadiri mesyuarat tersebut. — Bernama