Masyarakat Dayak digesa terus mengekalkan semangat perpaduan

0

SEKUAU: Masyarakat Dayak di bandar dan luar bandar digesa terus mengekalkan semangat perpaduan bagi memastikan suara mereka didengari.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata masyarakat Dayak perlu sentiasa bersatu hati dalam mengukuhkan perpaduan.

“Kita (masyarakat Dayak) bukan hanya bersatu dalam kelompok yang kecil 10 atau 100 orang kerana suara kita tak akan mudah didengari.

“Sebaliknya, kita perlu sentiasa bersatu hati dalam melakukan apa juga perkara dan terus mengekalkan semangat perpaduan agar suara kita terus jelas didengari,” katanya pada Majlis Makan Malam Gawai 2013 sempena Pelancaran Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Sekuau di Dewan Masyarakat Sekuau, malam kelmarin.

Hadir sama Pengerusi SDNU Cawangan Sekuau Tuai Rumah Joseph Serang Inang, Pengerusi Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Sekuau Rabiah Balang dan Pegawai Daerah Selangau Wan Akil Wan Ahmad Bujang.

Mawan yang juga Menteri Kanan berkata, menteri Iban yang dilantik di peringkat kerajaan pusat perlu bekerja dengan semua kaum di Malaysia dan bukannya tertumpu kepada satu-satu kaum sahaja.

“Politik membawa pengertian yang cukup meluas. Kita perlu bersedia memikul tanggungjawab yang diberikan kepada semua rakyat.

“Kita tidak mahu kaum lain melabelkan kita jaguh kampung,” jelasnya.

Mengulas mengenai SDNU, Mawan yang juga presiden SDNU memberitahu, tanggungjawab SDNU bukan hanya tertumpu kepada mengukuhkan sosial komuniti dan budaya.

“Malah, melibatkan ekonomi dan berkaitan dengan politik.

“Politik ibarat sungai yang ada hulu dan hilir. Kadangkala ia mampu memecahbelah perpaduan dan mewujudkan masalah di kalangan masyarakat,” ujarnya.

Pada majlis sama, Mawan turut menyempurnakan pelancaran SDNU Cawangan Sekuau dan majlis pelantikan ahli jawatankuasa sesi 2013-2016.

Selain itu, beliau turut mengumumkan geran projek kecil luar bandar (MRP) RM20,000 kepada SDNU Cawangan Sekuau.