Perpaduan di kalangan masyarakat perlu dikekalkan

0

MIRI: Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata perpaduan di kalangan masyarakat perlu dikekalkan agar keharmonian dan keamanan terus diperkukuh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata majlis rumah terbuka pada musim perayaan seperti Hari Gawai Dayak mampu mengukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum yang turut merasai suasana sambutan itu.

Lee turut mengingatkan masyarakat agar tidak mendengar hasutan anasir luar yang sengaja memecahbelahkan perpaduan dan konsep 1Malaysia yang diamalkan.

Justeru, beliau mahu orang ramai khususnya yang menyambut Hari Gawai Dayak pada tahun ini agar meraikannya bersama-sama masyarakat berbilang kaum.

“Seperti aktiviti ini, keprihatinan masyarakat terhadap golongan yang memerlukan sempena musim perayaan menunjukkan perpaduan kita amat erat dan perlu dikekalkan,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Gawai Dayak di sini semalam.

Seramai 100 penerima terdiri daripada warga miskin, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan balu menerima sumbangan berupa hamper dan angpau daripada Pertubuhan Chee Lee Khor Miri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri.

Hadir sama Penolong Pengarah JKM Miri Goh Yong Kiet dan Pengerusi Pertubuhan Chee Lee Khor Tony Pui.

Lee turut memuji usaha pertubuhan dan JKM Miri dan berharap akan terus membantu membela nasib golongan memerlukan.

Sementara itu, sumbangan hamper adalah tajaan pertubuhan itu manakala JKM Miri memberi setiap penerima RM50 untuk persiapan menjelang Hari Gawai.

Selain perayaan Gawai Dayak, pertubuhan terbabit turut menghulurkan sumbangan pada musim perayaan lain seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Krismas.