Program CTC akan ditambah baik, kata Ahmad Maslan

0

KANGAR: Perkhidmatan program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (CTC) akan diperkemas dan ditambah baik melalui kaedah-kaedah baharu yang dikenal pasti, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata, mulai tahun program itu juga akan diperluaskan ke kawasan pedalaman bagi kemudahan rakyat.

“Transformasi terbaharu ini (kerajaan datang menemui rakyat menerusi CTC), antara 52 inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) secara langsung menjimatkan belanja dan masa orang ramai.

“Dalam fasa kedua selepas ini Kementerian Kewangan akan menambah baik supaya perkhidmatan yang disediakan lebih baik dan memuaskan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program CTC di Felcra Lubok Sireh, Kaki Bukit, dekat sini, semalam.

Program di FELCRA Lubok Sireh itu adalah yang ke-14 sejak ia bermula 1 Mac lepas.

Ahmad berkata, CTC mengandungi lima komponen utama iaitu menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan utama kerajaan; peluang keusahawanan kepada penduduk setempat; menghimpunkan rakyat pelbagai peringkat dan kaum untuk bersosial bagi meningkatkan keharmonian; sebagai platform penyaluran terus bantuan kepada kumpulan sasar; dan memberi penerangan dan kesedaran mengenai dasar, program, aktiviti kementerian dan agensi kerajaan.

Beliau berkata, program CTC dilihat praktikal kerana telah berjaya menyelesaikan banyak masalah rakyat yang datang mendapatkan perkhidmatan.

Penganjuran program itu selepas ini akan diuar-uarkan lebih awal melalui media massa supaya lebih ramai rakyat mengetahui mengenainya agar mereka dapat meluangkan masa untuk hadir, katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata beliau akan mencadangkan kepada kerajaan persekutuan supaya satu Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) diwujudkan di Perlis.

Turut hadir pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga anggota Parlimen Arau. — Bernama