Tuanku Haminah rasmi mesyuarat agung tahunan PPPM

0

TERIMALAH: Tuanku Haminah yang juga Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia berkenan menyampaikan Sijil Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) & Greenpeace ‘Flags of the Future’ kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kampung Pandan, Sarah Batrisyia Mohammed A’reff, 13, sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan 2012/2013 Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Rosmah (kiri) dan Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia Datin Seri Zalilah Mohd Taib (kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah berkenan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) 2012/2013 di sini, semalam.

Ketibaan baginda kira-kira jam 10.40 pagi disambut oleh isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan Yang Dipertua PPPM, Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah selaku Timbalan Yang Dipertua PPPM dan Ketua Pesuruhjaya PPPM Datin Seri Zalilah Mohd Taib.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan isteri Datin Seri Anggraini Sentiyaki.

Dalam titah ucapan perasmian, Tuanku Haminah yang juga penaung PPPM mahu persatuan itu memanfaatkan penggunaan media sosial bagi menarik penglibatan golongan muda dalam persatuan yang boleh memupuk pelbagai nilai-nilai murni dalam diri mereka.

“Peningkatan media sosial juga dapat meningkatkan daya kreativiti golongan muda dan dengan pendedahan yang betul, golongan ini dapat mengharungi masa depan yang lebih mencabar dalam menerajui pembangunan negara di masa hadapan,” titah baginda.

Tuanku Haminah juga mengingatkan ahli PPPM untuk terus berkhidmat dan menghulur bantuan kepada masyarakat, terutamanya kepada golongan yang memerlukan.

“Beta juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua lapisan pemimpin PPPM yang telah membimbing anak-anak gadis dan remaja untuk peka dengan masyarakat sekeliling dan selalu sedia untuk berkhidmat di mana yang boleh”.

Tuanku Haminah dalam titah baginda juga menyampaikan ucapan tahniah kepada pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kuala Lumpur, Sarah Batrisyia Mohammed A’reeff yang berjaya memenangi pertandingan Greenpeace ‘Flag for the Future’ anjuran Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Sedunia.

Sarah Batrisyia, 13, yang menewaskan 1,400 peserta dari 43 negara menerima sijil penghargaan daripada Tuanku Haminah pada majlis itu.

Selain itu, Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyampaikan Anugerah Asia Pasifik kepada 28 pemimpin persatuan itu, Sijil Asia Pasifik (dua penerima) dan Anugerah Pandu Puteri Raja kepada 31 renjer.

Sementara itu, seramai 56 individu termasuk Presiden Majlis Belia Malaysia Mohamed Maliki Mohamed Rapiee menerima Anugerah Pandu Puteri daripada Rosmah.

Seramai 204 perwakilan dari seluruh negara menghadiri mesyuarat tersebut. — Bernama