Curi kereta: polis tangkap tujuh lelaki termasuk dua pembeli

0

ROBERT (kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, ASP Lee Nyuk Kim memerhatikan kenderaan yang dirampas polis berikutan tangkapan kelima-lima suspek.

KENINGAU: Polis berjaya menyelasaikan kes curi kenderaan yang dilaporkan pada Februari tahun ini dengan tertangkapnya tujuh orang lelaki yang disyaki termasuk dua pembeli di sekitar pekan di sini pada Mei ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Robert Salisip @David berkata tiga suspek adalah rakyat asing berumur antara 22 dan 25 tahun sementara dua suspek lagi berumur 30 dan 35 tahun adalah rakyat tempatan dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Dua pembeli kenderaan terbabit juga adalah rakyat tempatan yang turut ditahan untuk siasatan,” katanya pada sidang media di ibu Pejabat Polis Daerah di sini.

Beliau memberitahu dua suspek yang disyaki terlibat dalam kes itu adalah seorang wakil penjual berasal dari sebuah kampung di sini dan seorang makenik berasal dari sebuah kampung di Bingkor.

Menurut beliau, tiga suspek yang tidak memiliki dokumen diri dan tidak bekerja terbabit adalah berasal dari Kampung Baru, Kampung Durok dan Kampung Sayur Limbawan di sini.

Sementara itu, kenderaan-kenderaan yang berjaya ditemui dan dirampas polis adalah sebuah Hilux Vigo 2.5 warna hitam dan Isuzu Dmax warna Silver dan sebuah lagi Isuzu Dmax warna putih.

Robert berkata, laporan awal diterima oleh polis dari seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun pada kejadian 24 Februari tahun ini kira-kira 12.30 tengah malam.

“Pengadu telah didatangi oleh lima lelaki (suspek) yang tidak dikenali. Pada ketika itu, pengadu berehat dalam kenderaan kerana merasa pening kepala akibat minum minuman keras dan rakannya masih berada di dalam karaoke itu berdekatan.

“Suspek telah bertindak menolak pengadu masuk ke dalam kereta dan salah seorang suspek telah merampas kunci kereta daripada tangan pengadu lalu menghidupkan enjin kereta dan terus memandu kereta itu,” katanya.

Semasa berada di dalam kereta katanya, pengadu telah ditumbuk di bahagian muka dan telah diacu pisau di bahagian leher. Suspek juga menyuruh agar pengadu mendiamkan diri dan apabila tiba di kawasan Kampung Magatang, pengadu telah ditarik keluar dan dipijak di bahagian perut.

Selepas itu katanya, kesemua suspek terus melarikan diri dengan kereta terbabit. Suspek juga turut mengambil telefon bimbit milik pengadu jenis Nokia C3 dan dompet berisi Mykad, kad ATM, lesen memandu dan wang tunai RM150.

“Bertindak atas laporan itu, pada 16 Mei tahun ini kira-kira jam 7.10 malam bertempat di sebuah pusat medan selera di sini, sepasukan anggota polis dari cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah berjaya menangkap seorang suspek rakyat asing yang disyaki terlibat dalam kes ini.

“Hasil soal siasat yang dijalankan oleh anggota detektif JSJ, pada hari yang sama kira-kira jam 8.15 malam bertempat di tingkat satu atas sebuah restoran di sini, sepasukan anggota polis telah menangkap seorang lagi suspek rakyat asing,” katanya.

Robert berkata, berikutan soal siasat yang dijalankan ke atas suspek, pada 17 Mei jam 9.35 pagi bertempat di sebuah bengkel di Jalan Nabawan di sini, sepasukan anggota polis berjaya menangkap seorang lagi suspek rakyat asing yang disyaki terlibat dalam kes itu.

Menurut beliau, pada hari yang sama jam 10 pagi bertempat di pejabat showroom kenderaan di Jalan Tenom di sini, seorang suspek rakyat tempatan dan dipercayai bekerja menjual kenderaan telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta.

Beliau berkata, pada 23 Mei jam 2.30 petang bertempat di kawasan di sebuah bengkel di Bingkor, sepasukan anggota polis telah menangkap seorang suspek tempatan yang bekerja sebagai mekanik.

“Dua rakyat tempatan yang telah membeli dua buah kenderaan curi masing-masing telah ditangkap pada 23 Mei jam 4 petang dan 5 petang di Tenom dan Keningau. Kedua-dua kenderaan jenis Isuzu Dmax turut dirampas,” katanya.

Robert berkata, kelima-lima suspek disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Bagi kedua-dua suspek yang membeli kenderaan curi akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara satu hingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.