Majlis Datuk-datuk P. Pinang sumbang kaki palsu kepada tujuh pesakit

0

GEORGE TOWN: Majlis Datuk-datuk Pulau Pinang menyumbang kaki palsu kepada tujuh pesakit kurang berkemampuan yang menerima rawatan di Jabatan Per-ubatan Rehabilitasi Hospital Pulau Pinang.

Timbalan Presidennya, Datuk Ong Gim Huat berkata keutamaan bantuan bernilai RM30,000 itu diberi kepada pesakit cacat anggota yang tidak mempunyai polisi insurans, tidak mempunyai caruman Pertubuhan Kese-lamatan Sosial (PERKESO) dan bekerja sendiri.

“Program ini menjadi aktiviti kebajikan tahunan kita sejak beberapa tahun lepas, dan ia dijayakan menerusi penubuhan Tabung Derma Kebajikan yang kita tubuhkan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang Shaballah Zainal Abidin berkata, terdapat 25,000 orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar di negeri ini dan memerlukan bantuan.

Beliau berkata, terdapat sembilan skim bantuan disediakan JKM khusus untuk OKU, antaranya, Bantuan Penjagaan OKU Terlantar, Bantuan OKU Tidak Ber-upaya Bekerja, Elaun Pekerja Cacat dan Bantuan Alat Sokongan. — Bernama