Operasi banteras curi air di 22 lokasi akan dijalankan

0

LAHAD DATU: Operasi penguatkuasaan secara bersepadu di 22 lokasi yang telah dikenalpasti di daerah ini dalam usaha membanteras kegiatan curi air yang semakin meningkat akan dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Air Daerah Lahad Datu.

Jurutera Air Bahagian, Samsul Bahriy Marullah berkata operasi itu akan dijalankan dalam tempoh terdekat ini dengan kerjasama pihak polis.

Katanya, operasi itu dilaksanakan ekoran terdapat aduan daripada pihak pengguna yang menyatakan beberapa lokasi terlibat mengenai masalah bekalan air yang berlaku akibat daripada kegiatan curi air yang dikesan dilakukan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

“Beberapa aduan telah kita terima mengenai masalah bekalan air sebelum ini. Apabila pemeriksaan dibuat, kita dapati ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang membuat penyambungan paip secara haram di paip utama,” katanya di sini, kelmarin.

Menurut Samsul, apabila aktiviti itu berlaku, ia secara tidak langsung akan turut menjejaskan pengguna bermeter terutama penduduk yang tinggal di kawasan tekanan air rendah di lokasi-lokasi yang dikenalpasti itu.

Katanya, apabila penyambungan paip dibuat secara tidak betul ia boleh mengakibatkan berlakunya kebocoran paip dan dalam masa sama menyebabkan isipadu dan tekanan air turut berkurang.

“Apabila itu berlaku, selalunya penduduk atau pengguna yang tinggal di kawasan tekanan rendah pasti akan berhadapan dengan masalah bekalan air ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras kepada pencuri air bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka sekiranya masih enggan mematuhi arahan pihak jabatan Air Lahad Datu.

Katanya, mereka yang didapati melakukan kegiatan itu boleh dikenakan tindakan di bawah bekalan air Sabah 2003, iaitu mengikut Seksyen 49 (b) kerana mengubah, mengambil, melencongkan yang menyalahi undang-undang atau mengambil air dari mana-mana sistem bekalan air.