Wednesday, April 14

FINAS patut benar filem ‘Tanda Putera’ ditayang: Shabery

0

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) patut membenarkan filem ‘Tanda Putera’ ditayang kepada orang ramai, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata dengan tayangan filem itu, rakyat boleh membuat penilaian sendiri terhadap mesej yang disampaikan menerusi filem kenegaraan arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu.

“Tiba masanya ‘Tanda Putera’ ditayang untuk tontonan semua,” katanya dalam laman sosial Facebook beliau semalam.

Filem ‘Tanda Putera’ terbitan Pesona Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama FINAS, memaparkan kisah Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman memulihkan negara susulan peristiwa 13 Mei 1969.

Filem itu, yang dibuat pada 2011 dan dilulus tayangannya oleh Lembaga Penapisan Filem dengan sijil PG13, sepatutnya menemui penonton mulai 15 November lepas.

Bagaimanapun, Jemaah Menteri membuat keputusan menangguhkan filem itu berikutan ada babak yang tidak bersesuaian dan dikhuatiri boleh menimbulkan konflik dalam kalangan masyarakat.

Filem yang menelan belanja RM4 juta itu dibintangi Rusdi Ramli yang diberi tanggung-jawab memegang watak Abdul Razak, Zizan Nin sebagai Dr Ismail, manakala Faezah Elai memainkan watak isteri Abdul Razak, Tun Rahah Tan Sri Mohamad Noah. — Bernama