Wednesday, April 14

Penyiar Asia berkumpul di Manado untuk bincang masa depan industri

0

MANADO (Sulawesi): Kira-kira 300 penyiar, pengamal dan pemilik media menghadiri Sidang Kemuncak Media Asia (AMS) ke-10 yang berlangsung selama dua hari di sini bermula Rabu, bagi mencari penyelesaian mengenai perubahan landskap media.

Mereka akan meneliti masa depan sektor itu di rantau Asia Pasifik yang kaya dengan kepelbagaian budaya, gaya hidup dan agama.

Bertemakan ‘Menghadapi Masa Depan Dunia Penyiaran’, sidang kemuncak itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Indonesia Tifatul Sembiring yang berharap mesyuarat akan berupaya mencari penyelesaian untuk menyalurkan maklumat dan hiburan yang relevan kepada pengguna.

AMS merupakan hasil Deklarasi Bangkok pada Mei 2003 ketika persidangan sulung menteri penerangan dan penyiaran dari rantau Asia dan Pasifik.

Pengarah Asia-Pacific Institute for Broadcasting Deve-lopment (AIDB) Yang Binyuan dalam ucapan alu-aluannya pada perasmian itu, berkata sejak 10 tahun lepas AMS membantu penyiar bergerak ke hadapan dan menghadapi hari muka industri.

Sidang kemuncak itu, katanya, juga membantu mengenal pasti isu utama, cabaran khusus dan penyelesaian berinovasi bagi penyiar menangani kerumitan dan permintaan yang meningkat terhadap teknologi digital, perubahan sikap penonton serta kebangkitan media sosial selain mencari model baharu perniagaan.

Malaysia diwakili kira-kira 30 peserta daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Astro, Media Prima serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Pengarah IPPTAR Datuk Adilah Shek Omar akan bercakap pada sesi ‘Media Lite-racy: Fulfilling Its Mandate’ (Literasi Media: Memenu-hi Amanahnya), sementara Pengarah Program RTM Dr Nawiyah tersenarai sebagai anggota panel pada sesi ‘Are ‘Small’ Radio and TV stations serving their audiences better’ (Adakah Perkhidmatan Stesen Radio dan TV yang ‘Kecil’ Lebih Baik).

Sidang kemuncak itu akan diakhiri dengan sesi meja bulat ketua pegawai eksekutif esok (hari ini), bertajuk ‘Delivering More Value to Broadcasting’ (Memberikan Lebih Nilai kepada Penyiaran), yang menangani isu perubahan cita rasa dan gaya hidup pengguna selain meneroka model baharu perniagaan melangkaui pengiklanan, bagi meningkatkan perolehan.

Mereka juga akan membincangkan paradigma baharu yang diperlukan bagi memastikan kelangsungan dan pertumbuhan industri untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Tahun depan AMS akan diadakan di Jeddah, Arab Saudi dari 6 hingga 8 Mei. — Bernama