Gawai tanda syukur kepada ‘Tuhan Padi’

0

ADAT TRADISI DIPERTAHAN: Lindia (duduk kiri) sambil melihat Henry (dua kanan) dan anak buahnya yang lain menyusun atur pelbagai pekakasan bagi tempat pemujaan kepada ‘Tuhan Padi’ pagi semalam.

Penduduk Kampung Bunuk antara yang masih sambut Gawai mengikut adat lama

KUCHING: Hari Gawai atau Pesta Menuai adalah sambutan Tahun Baharu Kaum Dayak (Iban dan Bidayuh) dan signifikannya sambutan itu sentiasa menjadi sebutan ramai.

Justeru, Utusan Borneo semalam mengadakan tinjauan terhadap persiapan sambutan Hari Gawai mengikut adat lama (animisme) di rumah panjang perkampungan Bidayuh lama di Kampung Bunuk, Jalan Puncak Borneo.

Ketika ditemui, Ketua Adat Gawai Kampung Bunuk, Lindia Siges, 92, sedang memerhatikan anak buahnya Henry Senok, 40, dibantu Tabut Siyor, Teka Rijod, Misan Satung menyediakan tempat pemujaan.

“Sejak beratus tahun kewujudan kampung ini, kami merupakan generasi yang masih meneruskan adat lama upacara Gawai dan ia menjadi kemestian dilakukan setiap tahun.

“Tujuan bergawai adalah untuk mengucap terima kasih dan syukur kepada ‘Tuhan Padi’ kerana bagi orang Dayak, padi merupakan simbol serta sumber kehidupan.

“Bagaimanapun, sebelum padi di tanam sekitar September dan dituai pada bulan Februari atau Mac terdapat banyak pantang larang yang perlu dipatuhi,” ujarnya.

Mengikut kebiasaan, katanya, kaum Dayak mengadakan upacara khas bagi mendapat wahyu sebelum membersihkan kawasan sawah padi.

“Selepas itu, antara pantang larang yang perlu dipatuhi ialah dilarang sama sekali memegang atau memakan pucuk paku, rebung, ‘tipus’ dan rotan,” katanya.

Selepas habis musim menuai, adat pemujaan Gawai untuk ‘Tuhan Padi’ dilakukan mengikut musim dan asal-usul.

Antara bahan yang perlu disediakan ketika membuat tempat pemujaan ialah daun ‘sigaan,’ ‘benuak padi,’ ‘sendian,’ ‘sadis,’ telur ayam, beras, kuih penganan, pinang, sirih, tembakau, rokok, pekasam ikan, nasi bungkus dan tuak beras.

“Tempat pemujaan perlu siap sebelum menjelang petang kerana sambutan memanggil roh ‘Tuhan Padi’ akan dipanggil pada jam 8 malam 31 Mei setiap tahun,” ujarnya lagi.

Upacara pemujaan roh akan dilakukan selama satu jam dengan memainkan gong sambil seekor khinzir serta ayam kampung akan dikorbankan sebagai penjamuan.

Selepas empat hari, Ketua Adat bersama pembantu dan orang kampung dilarang keluar rumah dan perlu tinggal di dalam ‘baruk’ (rumah tempat menyimpan kepala) selama dua hari sebelum upacara menutup Gawai dijalankan.

Pada hari keenam, semua penduduk akan ke sungai berdekatan kampung untuk melepaskan tempat pemujaan.

“Orang kampung perlu menangkap ikan dan udang serta menyediakan makanan di sana sebelum pulang, baharulah upacara dan sambutan Gawai selesai,” jelasnya.

Rumah terbuka inap desa rumah panjang Kampung Bunuk dibuka kepada pengunjung dari 1 hingga 4 Jun ini.