Bomoh lakukan ritual ’tapok telo’ di lokasi bot ekspres karam

0

‘TAPOK TELO’: Lato (kanan) mengadakan upacara ritual `tapok telo’ dengan harapan akan membantu pasukan mencari dan menyelamat menemui mangsa bot ekspres karam yang masih hilang di Giam Bungan, Belaga.

BELAGA: Upacara ritual `tapok telo’ dilakukan oleh bomoh Orang Ulu dari Long Amo di lokasi tragedi bot ekspres Kawan Mas yang karam di Giam Bungan Belaga baru-baru ini.

Menurut Lato Juma, 78, upacara ritual itu bermaksud untuk memohon roh tanah yang dikenali sebagai Laja Tiong.

Sebelum itu, beliau mempersembahkan upacara ritual yang sama untuk Lawa Abai iaitu roh sungai.

“Dua roh ini dimiliki oleh kawasan Bungan dan kami memerlukan pertolongan mereka supaya kami dapat mencari kesemua mangsa yang lemas dalam bot itu,” katanya ketika ditemui sebelum upacara ritual bermula.

Upacara itu turut disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Liwan Lagang dan beberapa pegawai kanan pasukan mencari dan menyelamat.

Menurutnya, adalah diharapkan selepas ritual itu dua roh itu akan mendengar permintaan saya dan membantu pasukan menyelamat mengapungkan bot ekspres yang tenggelam itu dan pada masa yang masa dapat menemui mangsa yang masih hilang.

“Saya percaya ritual ini akan berhasil dan kami akan dapat menemui kesemua mangsa yang hilang,” kata Lato yang pertama kali mengadakan upacara itu di Giam Bungan.

Tujuh jenis makanan dan seekor ayam hitam digunakan dalam upacara ritual itu yang memakan masa 10 minit.

Dalam pada itu, jumlah terkini mangsa yang hilang dilaporkan adalah dua orang setelah seorang mangsa iaitu Paulus Ungkang dilaporkan selamat berada di Sibu selepas menghubungi saudara-maranya di Belaga memaklumkan keadaannya.

Dua yang masih hilang dikenal pasti sebagai Roslin Jati dan Maurice Ajan.

Setakat semalam seramai 205 dilaporkan selamat dalam kejadian itu dan seorang mangsa mati dikenal pasti sebagai Tujok Lah, 44, dari Rumah Sking Nanga Merit, Kapit dan mayatnya dijumpai terapung berdekatan Uma Tevok oleh penduduk tempatan pada jam 7 pagi Khamis lalu.