Demonstrasi jalanan boleh jejas pelancongan

0

RAI BERSAMA: Maria (depan lima kiri), Talib, Henry dan jemputan lain segak memakai kostum masyarakat Lun Bawang pada Pesta Irau Aco di Lawas kelmarin.

Ia boleh menimbulkan impak negatif terhadap ketibaan pengunjung dan pelancong luar

LAWAS: Budaya tidak sihat seperti demonstrasi jalanan yang diadakan di negara ini ekoran memprotes keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini dikhuatiri boleh menjejaskan industri pelancongan kita.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Talip Zulpilip berkata budaya berkenaan yang menular di negara ini boleh menimbulkan impak negatif terhadap ketibaan pengunjung dan pelancong luar.

Sehubungan itu, rakyat perlu menolak usaha pemimpin pembangkang yang cuba memecahbelahkan perpaduan rakyat ekoran keengganan mereka menerima kekalahan pada PRU13 lalu.

“Kita lihat impak demonstrasi seperti di Thailand, apabila industri pelancongan merudum sehingga menjejaskan ekonomi negara jiran itu.

“Rakyat perlu membuat pilihan bijak dan menolak budaya demonstrasi jalanan yang dibawa pembangkang, sebaliknya terus menyemai semangat perpaduan seperti diamalkan pemimpin Barisan Nasional (BN),” katanya ketika merasmikan Festival Irau Aco Lun Bawang (Pesta Lun Bawang) Ke-26 di Padang Majlis Daerah Lawas, kelmarin.

Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Pengerusi Pesatuan Lun Bawang Sarawak merangkap Pengerusi Pengelola Ipoi Datan, Residen Bahagian Limbang Maria Hasman, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Ibrahim Ismail, Pegawai Daerah Lawas Mohd Supaih  Hamdan dan presiden Persatuan Lun Bawang Sabah dan Brunei.

Talib berkata, kemajuan negara dan peningkatan ekonomi adalah berlandaskan kepada prasyarat yang memerlukan keadaan aman damai melalui perpaduan jitu antara masyarakat kecil sehinggalah kepada masyarakat majmuk di negara ini.

“Kunci kepada pembangunan sesebuah negara ialah perpaduan dan untuk memperkukuhkan perpaduan, maka perlunya persefahaman antara budaya yang boleh dicapai melalui perayaan masyarakat berbilang kaum di negara mahupun negeri ini,” katanya.

Beliau memuji usaha berterusan Persatuan Lun Bawang mengadakan perayaan dalam memupuk perpaduan antara kaum di sini.

Terdahulu, Henry mahu masyarakat Lun Bawang Lawas meningkatkan kerjasama baik dengan Persatuan Lun Bawang Negeri Sabah, Persatuan Lun Dayeh Negeri Sabah dan Persatuan Lun Bawang Brunei pada masa akan datang.

“Pada Irau kali ini perhatian perlu diberi kepada usaha mengukuhkan perpaduan antara masyarakat Lun Bawang dan bersama-sama bergerak mencapai kemajuan dan perlu direnung bagi melihat sejauh mana usaha ini memberi hasil kepada masyarakat Lun Bawang dalam aspek perpaduan dan kerjasama mereka,” katanya.

Beliau berharap pihak Kementerian Pelancongan memberi perhatian terhadap produk pelancongan di Lawas yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan jika mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak kementerian terbabit.

Antaranya, air panas (hot spring) di Merarap, ladang epal di Ba’Kelalan dan kawasan pesisir di Kuala Lawas, Punang dan Awat-Awat yang terkenal dengan produk ikan tahainya.