Festival Layang-layang Antarabangsa Borneo Bintulu Sarawak, 5-8 September

0

BERPRESTIJ: Layang-layang pelbagai corak dan saiz menghiasi ruang udara Bintulu pada Festival Layang-layang Antarabangsa tahun lalu.

BINTULU: Sambutan Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo Bintulu Sarawak 2013 yang akan berlangsung pada 5 hingga 8 September depan dijangka lebih meriah kerana bertepatan dengan Sambutan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia dan sambutan Ulang Tahun Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Yang Ke-35 pada 8 Julai depan.

Pengurus Besar BDA Datu Mohidin Ishak berkata sambutan festival layang-layang antarabangsa pada tahun ini adalah amat bermakna bagi masyarakat Bintulu dan negeri ini apabila diadakan serentak dengan dua sambutan yang amat signifikan.

“Pada tahun ini, festival itu akan disertai 89 peserta kebangsaan daripada 12 negeri di negara ini serta 121 peserta antarabangsa daripada 34 negara yang melibatkan peserta dari sembilan negara baharu iaitu England, Brazil, Columbia, Brazil, Hong Kong, Turki, Denmark, Switzerland dan Amerika Syarikat,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Katanya pada acara berlangsung tiga hari itu di lapangan terbang lama Bintulu, ia bakal menyaksikan peserta kebangsaan dan luar negara membuat persembahan dan pertandingan yang mendapat penyertaan daripada orang awam.

Katanya majlis perasmian festival berkenaan dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip pada 5 September.

Dalam pada itu, Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah dijangka akan menyaksikan persembahan layang-layang pada 7 September, jam 3 petang manakala Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri dijangka menyaksikan persembahan layang-layang pada hari terakhir (8 September).

Acara menarik diadakan sepanjang festival itu ialah persembahan layang-layang moden dan tradisional peringkat kebangsaan, layang-layang besar oleh peserta antarabangsa dan kebangsaan, demonstrasi membuat wau tradisi, pertunjukan ‘stunt kite’ berirama daripada peserta antarabangsa, persembahan ‘revolution kite’ oleh peserta antarabangsa dan kebangsaan dan banyak lagi.

Sepanjang festival itu, pihak penganjur turut menyediakan 140 gerai makanan dan minuman  merangkumi gerai menjual pebagai hasil kraf tangan dan produk tempatan.

Pada tahun lalu, festival berkenaan berupaya menarik sejumlah 120,000 pengunjung sepanjang lima hari ia berlangsung.