Jumlah bot ekspres akan ditambah pada musim perayaan, kata Manyin

0

KUCHING: Jumlah bot ekspres akan ditambah pada musim perayaan bagi mengurangkan kesesakan penumpang terutama setiap kali tibanya waktu kemuncak.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata penambahan bilangan bot ekspres yang beroperasi setiap musim perayaan amat penting bagi memenuhi permintaan yang tinggi pada masa itu.

“Setiap kali musim perayaan kesesakan penumpang pasti berlaku dan untuk mengatasinya kami akan mengadakan perbincangan dengan pengusaha bot ekspres untuk menambah bilangan bot ekspes yang beroperasi pada waktu tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Jamuan Teh sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Ke-14 Peringkat Negeri di Dewan Suarah Kota Samarahan kelmarin.

Majlis itu dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah serta Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib.

Pada masa yang sama Manyin memberitahu, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan ahli jawatankuasa tertinggi Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) selepas perayaan Gawai ini.

Jelasnya, perbincangan itu diadakan bagi meningkatkan pemantauan dalam aspek keselamatan dengan menambah bilangan anggota di jeti-jeti yang ada di negeri ini.

“Buat masa ini memang sukar untuk mengawal keadaan di setiap jeti.

“Untuk pengetahuan anda terdapat lebih 500 jeti di seluruh Sarawak tetapi LSS hanya mempunyai 100 anggota yang memantau jeti-jeti ini.

“Jadi ia bukan mudah kerana kita tidak mempunyai petugas yang cukup untuk diletakkan di kesemua jeti ini,” tambahnya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai operasi pencarian mangsa yang masih hilang Manyin berkata, usaha akan dipergiatkan dan pihak berkuasa juga sedang berusaha membawa bangkai bot ke darat.

“Pihak berkuasa sedang menunggu kren yang akan digunakan untuk menarik keluar bot ekspres tersebut ke daratan dan kami yakin semua pihak sedang berusaha mencari mangsa-mangsa yang masih hilang,” ujarnya.