KPS mempunyai kapasiti terhad bantu mangsa bot ekspres karam

0

KUCHING: Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) mempunyai kapasiti yang agak terhad untuk membantu mangsa tragedi bot ekspres karam di Belaga namun sedia menghulurkan bantuan jika diperlukan.

Menterinya Tan Sri William Mawan Ikom berkata secara teknikalnya, tidak banyak yang mampu dilakukan KPS dari segi membantu mangsa.

Bagaimanapun menurutnya, Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga merupakan kementerian yang bertanggungjawab penuh menghulurkan bantuan segera.

“Memang sudah ada barisan hadapan untuk melihat keperluan mangsa namun kami akan membantu jika diperlukan.

“Pada masa ini selain menempatkan orang untuk menghulurkan bantuan, tidak banyak yang kami dapat lakukan,” katanya kepada pemberita selepas Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak di kediamannya kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kapasiti KPS dalam membantu mangsa bot ekspres karam di Belaga.

Pada masa sama Mawan menggesa orang ramai untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk wang tunai dan barangan bagi membantu mangsa.

Dalam pada itu, beliau berkata setiap tahun semakin ramai masyarakat menyambut Hari Gawai Dayak.

“Namun kebanyakannya lebih gemar menyambut Gawai di rumah panjang.

“Jika ia diraikan di bandar mungkin keadaan lebih meriah kerana turut dirasai warga kota,” ujarnya.

Mawan turut berharap agar kemakmuran dan keamanan negara akan menjadi lebih baik pada masa akan datang.

“Saya berharap pada masa depan akan membawa lebih banyak kebaikan termasuk dari segi kemakmuran dan keamanan,” jelasnya.