Penyokong Johor DT yang koma selepas terjatuh di stadium meninggal dunia

0

JOHOR BAHARU: Seorang penyokong bola sepak pasukan Johor Darul Takzim yang koma selepas terjatuh dari ketinggian 15 meter bahagian tempat duduk penonton Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 25 Mei lepas, meninggal dunia, di sini, semalam.

Rosdhi Rosiman, 29, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, di sini, kira-kira jam 2.15 pagi semalam, selepas koma selama sembilan hari di hospital itu.

Adik Allahyarham, Roshanizam Rosiman, 23, berkata seluruh anggota keluarga berada di sisi Rosdhi semasa beliau meninggal dunia.

“Kami sekeluarga tiba di hospital sejak petang semalam (kelmarin) selepas doktor memberitahu tahap kesihatan Allahyarham yang semakin buruk,” katanya kepada pemberita di rumah keluarganya, di Taman Tampoi Indah, di sini, semalam.

Roshanizam berkata, doktor mengesahkan buah pinggang Rosdhi gagal berfungsi dan Allahyarham hanya membuka mata seketika pada hari kedua di hospital sebelum meninggal dunia dalam keadaan masih koma.

Beliau berkata jenazah abangnya yang merupakan anak kelima dari lapan beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bendahara, Kebun Teh, di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Menurut Roshanizam, Allahyarham merupakan peminat tegar pasukan Johor Darul Takzim dan kali terakhir mereka berjumpa adalah tiga harisebelum kejadian.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Dara Mahilah, 50-an berkata dia reda dengan apa yang menimpa dan tidak menyalahkan mana-mana pihak berhubung kejadian itu.

“Rosdhi tidak pernah terlepas dari menyaksikan setiap perlawanan.

Saya tidak putus berdoa sejak dia dimasukkan ke hospital. Saya tidak sangka jadi begininamun saya reda,” katanya.

Rosdhi, seorang pekerja kilang, dikatakan terjatuh semasa membuka bendera yang dipasang tidak jauh dari tempat duduk belakang penontonsebaik sahaja tamat perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Johor Darul Takzim dan Pahang.

Kejadian pada jam 10.45 malam itu dipercayai berlaku ketika pemuda terbabit berdiri berhampiran pagar setinggi paras pinggang dan terjatuh akibat tertolak oleh penyokong lain yang bersesak-sesak keluar pada waktu berkenaan. — Bernama