Perbaiki lorong motosikal supaya selamat

0

Penunggang motosikal enggan gunakan laluan khas itu kerana kurang diselenggara

KUALA LUMPUR: Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye semalam memintajawatankuasa di bawah Kementerian Kerja Raya memperbaiki keadaan lorong khas motosikal agar lebih selesa dan selamat kepada pengguna.

Beliau berkata, penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kira-kira 70 peratus daripada 6,000 kematian akibat kemalangan jalan raya di negara inisetiap tahun.

Lee yang menghubungi Bernama berkata kurangnya penyelenggaraan di lorong motosikal menyebabkan penunggang motosikal enggan menggunakan laluan khasberkenaan dan memilih untuk menggunakan lebuh raya sekaligus meningkatkan risiko kemalangan.

“Berdasarkan maklumat yang saya kumpul dari penunggang motosikal yang saya temui mereka memaklumkan bahawa lorong khas motosikal kurang diselenggara dan tidak begitu selamat.

“Lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan mempunyai selekoh berbahaya, berlubang, berlopak dan banjir ketika hujan.

“Selain itu terowong (di laluan motosikal) sangat gelap dan penunggang serta pembonceng turut diganggu penjenayah pada waktu-waktu tertentu,” katanya.

Lee berkata laluan khas penunggang motosikal merupakan salah satu pendekatan bagi mengurangkan kejadian kemalangan di kalangan pengguna motosikal.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusuf baru-baru ini mengumumkan bahawa kementeriannya akan menubuhkan pasukan khas bagi meneliti kebimbangan mengenai tahap keselamatan lorong khas motosikal.

Pasukan itu akan mengkaji semua masalah yang timbul sebelum mengeluarkan pandangan mengenai penyelesaian terbaik mengenainya, tambah Fadillah.

Lee berkata bilangan kematian ekoran kemalangan jalan raya di negara ini adalah amat membimbangkan dengan lebih 6,000 kematian setiap tahun untuk beberapa tahun kebelakangan ini.

“Angka ini boleh diterjemahkan kepada 18 hingga 20 orang terbunuh di jalan raya setiap hari,” katanya.

Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setiap hari berlaku tiga kematian yang ada hubung kait dengan pekerjaan dan dua daripadanya disebabkan kemalangan semasa perjalanan pergi atau balik di antara tempat kerja dan rumah.

Lee berkata, jumlah kemalangan melibatkan mereka yang berulang alik dari rumah ke tempat kerja di negara ini meningkat setiap tahun sejak 2006.

“Pada 2006 sebanyak 17,704 kemalangan melibatkan pekerja, 2007 (17,682), 2008 (19,041), 2009 (20,810), 2010 (22,036), 2011 (24,089) dan 2012 (25,616).

“Ini boleh dianggap satu trend global kerana pihak Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memaklumkan bahawa 2.2 juta kematian berkaitan pekerjaan berlaku setiap tahun.

“350,000 kematian adalah akibat daripada kemalangan di tempat kerja, 1.7 juta kematian akibat penyakit berkaitan pekerjaan sementara 158,000 kematian adalah akibat kemalangan di jalan raya semasa perjalanan ke tempat kerja dan balik dari kerja,” kata beliau. — Bernama